UMNO, BN tak halang MP sokong Anwar

4,345

23 SEPT: UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menghalang Ahli Parlimennya untuk mengambil keputusan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau untuk menukar kerajaan.

Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, seperti diketahui umum UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Justeru, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan, sokongan kepada kerajaan PN adalah sokongan dari Ahli – Ahli Parlimennya sahaja.

“Saya telah mengikuti sidang media oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson. Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN). Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli – Ahli Parlimen sahaja.

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar dalam satu sidang media di Kuala Lumpur mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk gabungan kerajaan baharu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan jelas jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin namun terpaksa ditangguhkan kerana Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Timbul persoalan sama ada Anwar benar-benar beroleh sokongan majoriti seperti yang didakwanya memandangkan hanya isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilihat hadir dalam siaran langsung video sidang media itu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.