Tiga RUU berkaitan mahkamah diluluskan

59

23 SEPT: Dewan Negara hari ini, meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan sistem kehakiman, mahkamah kehakiman dan rendah.

Tiga RUU itu adalah RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020; RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020.

Semua RUU yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya itu diluluskan tanpa sebarang pindaan menerusi undian suara.

Shabudin ketika menggulung perbahasan RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, berkata ia akan membolehkan perbicaraan dilakukan secara dalam talian, tertakluk kepada pertimbangan hakim.

Beliau berkata pindaan itu akan membenarkan mahkamah menggunakan beberapa perisian berbayar, iaitu Skype dan Zoom yang menawarkan jaringan keselamatan bagi mengelak cubaan penggodaman.

“Kita akan teliti kes demi kes, bukan semua pendengaran secara dalam talian. Ada agensi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang memantau dari semasa ke semasa, bagi mengesan sebarang kegiatan menggodam, setakat ini tiada berlaku (penggodaman).

“Kita juga ada Agensi Keselamata Siber Kebangsaan (NACSA) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang membuat dasar mengenai keselamatan siber, selain Kementerian Komunikasi dan Multimedia, CyberSecurity melaksanakan operasi daripada dasar dibuat NACSA dan MAMPU,” katanya.

Dalam pada itu, Shabudin memberitahu kaedah tersebut adalah alternatif yang membolehkan pihak terlibat dalam prosiding memilih sama ada prosiding kes dijalankan secara dalam talian atau fizikal.

“Perkara ini bukanlah sesuatu yang mandatori, perincian kes yang akan didengar secara dalam talian akan dibuat melalui arahan amalan atau ‘practice direction’ yang akan dibuat oleh Badan Kehakiman, pihak Ketua Hakim Negara atau Pejabat Ketua Hakim Negara.

“Pada masa ini, pendengaran dalam talian adalah bagi kes-kes sivil sahaja dan mesyuarat telah diadakan di antara Badan Kehakiman dan Majlis Peguam,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.