Tiada seorang pun Ahli PN BBC mahu sokong Anwar

725

23 SEPT: Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN BBC), Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan tiada seorang pun ahlinya mahu melompat parti dengan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan tindakan Anwar mengumumkan memperoleh sokongan majoriti di Parlimen adalah gimik politik untuk mengganggu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, tindakan itu tidak ubah sebagai momokan dalam mempengaruhi rakyat Sabah untuk terus menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan).

Menurut Shahidan, ini adalah kerana jentera Perikatan Nasional (PN) sedang berkempen di Sabah dengan yakin untuk menukarkan kerajaan negeri agar seiring dengan Persekutuan.

“Jadi macam mana dia boleh buat dakwaan itu, sedangkan kami tiada seorang pun yang lompat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahidan berkata, dakwaan Anwar itu tidak ubah sebagai dongeng terhadap rakyat kerana tindakan itu jelas dilakukan untuk mengganggu PRN Sabah.

“Saya yakin dakwaan ini dibuat kerana PRN Sabah dan saya ingin maklumkan kami kerajaan sedia ada masih kukuh dan mantap. Tidak ada kerajaan yang akan tumbang,” katanya.

Terdahulu, Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk gabungan kerajaan baharu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan jelas jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.