PKR makin tenggelam, Anwar cuba alih isu

285

23 SEPT: Semua jentera Barisan Nasional (BN) perlu memberi sepenuhnya perhatian dan fokus untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah serta tidak mempercayai dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau sudah mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, dakwaan berkenaan hanyalah strategi lama Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang itu dan senang dibaca berikutan PKR kini semakin tenggelam dalam kempen PRN Sabah.

Beliau juga percaya Anwar sengaja berbuat demikian kerana nama Ketua Pembangkang dan PKR kini semakin tenggelam berikutan pelbagai isu.

“Anwar mahu timbulkan semula nama dan partinya yang tenggelam ketika ini. Strategi yang mudah dibaca. Ingat tidak peristiwa 16 September 2008 ? Kali ini buat spekulasi lagi.

“Apatah lagi nama dan partinya terus tenggelam ketika PRN Sabah. Saya rasa elok semua jentera BN terus fokus dan tumpukan usaha untuk BN memenangi semua kerusi yang ditandingi.

“Dan kita kalahkan Warisan Plus terutama PKR di PRN Sabah. Mari terus kita bekerja untuk pastikan BN kembali berkuasa? Biarkan Anwar terus dengan mimpi dan strategi beliau yang mudah dibaca,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada sidang media sebentar tadi mendakwa mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan untuk menubuhkan kerajaan, namun enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Presiden PKR itu berkata, beliau sudah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 11 pagi semalam, namun terpaksa ditangguhkan kerana Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan turut membuat ciapan serupa berhubung perkembangan itu.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Saya berada dalam mesyuarat (Jemaah Menteri), sibuk merancang demi rakyat bersama Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.

Timbalan Presiden PAS, merangkap Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan tiada seorang pun dari Ahli Parlimen partinya bertindak menyokong Anwar.

“Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.