Malaysia tak iktiraf status pelarian Rohingya

118

23 SEPT: Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Ini adalah kerana Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid berkata, kerajaan bagaimanapun membenarkan mereka untuk tinggal sementara di negara ini, atas dasar kemanusiaan sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh UNHCR.

MASTURA MOHD YAZID
MASTURA MOHD YAZID

“Kerajaan mengambil maklum kegusaran orang awam yang timbul berhubung pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya namun dasar kerajaan ketika ini menentapkan pelarian dibenarkan bekerja sendiri iaitu pekerjaan sektor tidak formal.

“Pelarian ini juga bebas bergerak kecuali Sabah dan Sarawak dan mendapat akses perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan dengan hanya dikenakan bayaran 50 peratus berbanding harga warga asing yang mempunyai dokumen sah,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah menyatakan langkah-langkah yang diambil Kerajaan dan polisi kerajaan Malaysia mengenai isu pelarian Rohingya yang sedang berada di Malaysia.

Sementara itu, Mastura memberitahu, Malaysia akan terus mengambil pendekatan menggesa negara kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 melaksanakan tanggungjawab mereka bagi memberi pelindungan pada pelarian tanpa mengira asal kaum tersebut.

Tambahnya, jika peranan ini dimainkan dengan serius oleh negara ketiga itu, maka isu ini akan dapat ditangani dengan segera dalam menyelesaikan permasalahan tersebut di samping dapat menangani punya pelarian tersebut bersebut.

“Jabatan Perdana Menteri akan melakukan penambah baikan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.23 bagi memastikan pengurusan pemegang kad UNHCR di Malaysia dapat dibuat dengan lebih kemas dan teratur,” jelasnya.

Beliau menambah, Malaysia sedang melakukan rundingan dan perbincangan bersama negara-negara terlibat di seluruh dunia bagi mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.

“Tiada jangka masa dibenarkan tinggal di negara kita lihat pada kesesaian dan cepat mendapat tempat tinggal di negara (ketiga) itu. Saya prihatin dengan kegusaran komuniti kita. Sudah ada usaha-usaha kerajaan memikirkan mekanisme tuntas.

“Dan kita ambil kira hal-hal pendirian antarabangsa dan dasar-dasar negara kita supaya usaha ini boleh secepat mungkin dilaksanakan dan mengambil kira baik buruknya. Akan ada satu plan tindakan bersepadu dari pihak kerjaan untuk tempatan semula etnik rohingya agar tidak menimbulkan keresahan rakyat di negara ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.