Dewan Negara lulus RUU MKN

132

23 SEPT: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 bagi meminda peruntukan berhubung kuasa mengisytiharkan kawasan keselamatan dengan memberi kuasa itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, pindaan Seksyen 18 Akta 776 tidak akan menjejaskan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai penasihat dalam perisytiharan mana-mana kawasan keselamatan.

RUU itu yang dibentangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya, diluluskan selepas dibaca kali ketiga tanpa sebarang pindaan menerusi undian suara.

Shabudin ketika menggulung RUU berkenaan berkata, pindaan Seksyen 18 akta berkenaan turut meliputi subseksyen (4) iaitu menggantikan perkataan “Perdana Menteri” kepada “Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis”; dan subseksyen (6) menggantikan perkataan “di Parlimen” dengan perkataan “di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen”.

Selain itu, menurutnya, pindaan turut membabitkan subseksyen (7), yang sebelum ini menyebut Perdana Menteri boleh, pada bila-bila masa, membatalkan perisytiharan itu (kawasan keselamatan), dan diganti dengan perkataan “Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Majlis”.

“RUU MKN (Pindaan) 2020 turut menyaksikan pindaan Seksyen 37 berkaitan hukuman penjara berhubung obligasi kerahsiaan dinaikkan daripada dua tahun kepada lima tahun.

“Ia juga bertujuan meminda Seksyen 6 Akta MKN berhubung keanggotaan Majlis iaitu mengeluarkan Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi Majlis dan memberi kuasa kepada pengerusi majlis untuk melantik seorang timbalan pengerusi dalam kalangan anggota Majlis yang lain,” katanya.

RUU itu tidak akan membabitkan apa-apa perbelanjaan tambahan kerajaan di samping memastikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terus melaksanakan fungsinya agar tadbir urus keselamatan negara dapat dilaksanakan secara berkesan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.