Anwar mesti dedah siapa MP yang sokong

308

23 SEPT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menamakan setiap Ahli Parlimen yang dikatakan memberikan sokongan beliau untuk membentuk kerajaan baharu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal menegaskan, pengumuman Anwar berkenaan adalah satu lagi percaturan Ketua Pembangkang terbabit yang hanya akan merugikan ekonomi negara.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu berkata, beliau menganggap kenyataan dikeluarkan oleh Anwar berkenaan hanya cakap-cakap kosong selagi Presiden PKR tidak mengumumkan nama Ahli Parlimen yang kini bersama beliau.

“Selagi beliau (Anwar Ibrahim) tidak menunjukkan satu per satu nama-nama dan bilangan ahli Parlimen yang dikatakan bersama beliau, selagi itu bagi saya ia hanyalah omongan kosong.

“Tapi kita perlu ingat sebarang perubahan kerajaan yang ada kuasa ketika ini adalah Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) dan mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong, hanya beliau sahaja boleh usulkan untuk bubar Parlimen.

“Kalau benar PM tidak mempunyai sokongan majoriti, saya rasa buat masa ini apa yang dibangkitkan Anwar adalah hanyalah omongan kosong. Kita tunggu dan lihatlah sama ada apa yang dia cakap itu betul atau tidak,” katanya ketika mengulas pengumuman Anwar kononnya beliau mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan, hari ini.

Tambah Wan Ahmad Faysal, apa yang dilakukan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga adalah gimik untuk memastikan kemenangan PKR di Sabah dan ia buka perkara baharu dalam politik Anwar.

Beliau menambah, apa yang berlaku ketika ini bukan mengejutkan tapi sedikit mengecewakan kerana negara sedang bergolak dengan COVID-19.

Wan Ahmad Faysal berkata ketika Yang di-Pertuan Agong masih menjalani rawatan di Institut Jantung Negara, Anwar tidak sepatutnya membuat pengumuman mengejut sebegini kerana ia mengakibatkan pasaran saham tidak stabil.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, dalam satu kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya menyifatkan pengumuman Anwar bahawa beliau kini mempunyai sokongan dua per tiga untuk membentuk kerajaan baharu itu tidak lebih daripada ‘Sindrom September’.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menegaskan walau apa pun dakwaan Anwar, kuasa kerajaan masih terletak di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sindrom September… Dahulu 16, kini 26. Walau apa pun, kata pemutus masih di tangan PM,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.