Abdul Halim pengerusikan Dewan Negara kali terakhir

322

23 SEPT: Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad mempengerusikan persidangan Dewan Negara buat kali terakhir hari ini, sebelum beliau menamatkan tempoh jawatan itu pada 22 November depan.

Dalam ucapan terakhirnya, Abdul Halim berkata, tanggungjawab yang dipikul beliau sejak 2017 itu merupakan satu penghormatan yang disanjung tinggi dan memberi peluang kepadanya untuk menabur bakti kepada negara.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Negara dan warga Parlimen yang sentiasa memberikan kerjasama dalam menjayakan perjalanan urusan Dewan Negara teratur dan baik.

“Saya lafazkan ucapan terima kasih kerana banyak memberi sokongan dan dokongan kepada saya sebagai Timbalan Yang Dipertua.

“Di sini saya ada ramai kawan-kawan malah saya ada kawan-kawan baru. Saya bersyukur kerana di sini juga saya banyak belajar perkara daripada Yang Berhormat semua,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mempengerusikan persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini, sebelum menangguhkan persidangan itu.

Dalam pada itu, menyentuh isu politik, Abdul Halim memberitahu berkawan di dalam politik ini tidak akan bertahan malahan mampu menjadi musuh di masa hadapan.

“Saya faham apa yang dikatakan politik. Saya berpendapat sahabat tidak berpanjangan musuh tidak berlarutan.

“Dan yang berlarutan hanyalah matlamat dalam perjuangan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih dan berbangga kerana dapat berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara di bawah naungan tiga Yang Dipertua Dewan Negara.

“Saya terima kasih kepada seorang speaker yang banyak memberi saya tunjuk ajar dan berhati mulia iaitu Tan Sri Abu Ujang dan juga Tan Sri S A Vigneswaran.

“Tidak juga saya lupakan iaitu Tan Sri Dr Rais Yatim satu tokoh terkenal dengan ilmunya dan politiknya dan saya percaya dapat mempertingkatkan lagi kewibawaan Dewan Negara,” katanya

Persidangan Dewan Negara ditangguh selepas ucapan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.