6 parti politik teguh sokong Muhyiddin

100

23 SEPT: Semua parti yang bekerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Semalaysia (PAS), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, enam Setiausaha Agung parti membentuk PN, dalam satu kenyataan bersama hari ini menyangkal dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Kenyataan beliau itu tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini.

“Tindakan terbaharu beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19.

“Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini malah akan bersama-sama menyokong erajaan Perikatan Nasional pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat,” kata mereka.

Kenyataan media berkenaan ditandatangani bersama oleh Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Setiausaha GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi; Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim dan Setiausaha Agung STAR, Guan Dee Kohoi.

Terdahulu, Anwar dalam satu sidang media di Kuala Lumpur mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk gabungan kerajaan baharu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan jelas jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.