Staf positif COVID-19, UOB Bank Kepong ditutup

125

22 SEPT: United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) Cawangan Kepong telah ditutup sementara waktu selepas seorang kakitangannya diuji positif COVID-19.

Bank itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kakitangan itu, yang merupakan pegawai gadai janji di cawangan Kepong, telah melawat Lahad Datu dan Semporna di Sabah antara 10 hingga 13 September lalu.

“Kami telah menjalankan pengesanan kontak dan semua rakan sekerja termasuk pelanggan yang bersentuhan rapat dengan kakitangan berkenaan, mereka semua sedang dihubungi.

“Mereka diminta untuk menjalani kuarantin diri selama 14 hari sementara mereka memantau kesihatan mereka dan menunggu arahan selanjutnya daripada pihak berkuasa,” kata bank itu.

Kenyataan itu menambah, penutupan cawangan itu merangkumi akses kepada mesin perbankan layan dirinya.

UOB Malaysia berkata, bank itu telah melaksanakan langkah berjaga-jaga yang disyorkan oleh kerajaan di premisnya untuk memastikan keselamatan orang ramai.

Cawangan itu akan tetap ditutup bagi pembersihan premis dan akan dibuka semula selepas menerima kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa kesihatan.

Bank itu meminta pelanggan yang ingin berurusan dengan perkhidmatan perbankan, untuk ke cawangan terdekat di Damansara Uptown atau Kota Damansara, atau mana-mana cawangan lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.