RUU Kesan COVID-19 diluluskan Dewan Negara

84


22 SEPT: Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 diluluskan di Dewan Negara, hari ini.

RUU itu yang diluluskan secara sebulat suara selepas dibahas sembilan Ahli Dewan Negara, antara lain akan menyaksikan pindaan terhadap 14 akta serta dua ordinan berkaitan termasuk Akta Had Masa 1953; Ordinan Had Masa Sabah; Ordinan Had Masa Sarawak; Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948; Akta Insolvensi 1967; Akta Sewa Beli 1967 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Akta lain ialah Akta Distres 1951; Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966; Akta Perhubungan Perusahaan 1967; Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981; Akta Pengangkutan Awam Darat 2010; Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987; Akta Mahkamah Kehakiman 1964; Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1955.

Langkah-langkah sementara itu bakal berkuat kuasa selama dua tahun bermula 18 Mac lalu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Shabudin Yahaya ketika sesi penggulungan berkata RUU berkenaan bersifat kompromi yang memberi keadilan kepada semua.

Menurut beliau, ia selaras hasrat kerajaan supaya RUU berkenaan tidak bersifat menghukum sehingga membebankan mana-mana pihak.

“Kesan pandemik ini dirasai oleh semua pihak kerana apabila satu pihak terkesan, bermakna seluruh rantaian ekonomi akan terkesan.

“Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk memastikan kedua-dua pihak diberikan peluang sama rata bagi menyelesaikan pertikaian secara baik,” katanya.

Dalam pada itu, Shabudin memberitahu, RUU berkenaan menyokong pelbagai inisiatif pemulihan ekonomi menerusi rangkaian pakej rangsangan.

“Ia memberikan suatu pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian atau pematuhan perundangan tertentu bagi tempoh yang ditetapkan demi kelangsungan hidup rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.