Ringgit semakin stabil berbanding dolar AS

179

22 SEPT: Nilai ringgit semakin stabil dan meningkat sebanyak 4.2 peratus bermula Mac sehingga 18 September lalu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata peningkatan itu disebabkan beberapa faktor antaranya peningkatan harga minyak mentah dunia Brent dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan kemasukan semula aliran dana portfolio pelabur bukan pemastautin ke dalam pasaran kewangan Malaysia.

Menurut beliau, dalam persekitaran global mencabar serta pasaran kewangan dunia yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit dengan fleksibel memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan terhadap keadaan yang berubah tanpa jejaskan ekonomi domestik.

“Namun volatiliti ringgit ketara boleh tingkatkan ketidak tentuan dan jejaskan sektor ekonomi berikutan kesukaran untuk merangka strategi serta sukar untuk mengambil keputusan yang wajar.

“Dalam hal ini, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) akan sentiasa memastikan pasaran kewangan terlebih teratur dan lancar,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Tengku Zafrul menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Teo Eng Tee tentang langkah yang diambil oleh Kementerian dalam membendung prestasi nilai ringgit yang semakin merosot.

Beliau memberitahu, kerajaan melalui BNM sentiasa komited dalam memperkenalkan langkah bagi kecairan ringgit yang mencukupi agar pasaran terus kekal berdaya saing di samping aktiviti spekulasi dalam pasaran dapat dikurangkan.

Tengku Zafrul berkata, langkah ini termasuk meletakkan syarat supaya sebahagian besar hasil eksport yang menggunakan wang asing dapat ditukarkan kepada wang ringgit bagi meningkatkan kemasukan asing dalam pasaran di negeri.

“Kita juga meningkatkan penguatkuasaan peraturan wang asing sedia ada bagi mencegah aktiviti spekulasi mata wang ringgit diniagakan di luar pesisir dan pada masa sama BNM memperkenalkan pelindung nilai agar boleh laksanakan pengurusan risiko pendedahan mata wang asing dengan lebih baik.

“Dalam masa jangka panjang, nilai ringgit akan didorong khususnya oleh kekuatan asas ekonomi negara. Oleh demikian, kerajaan akan menumpukan usaha bagi tingkat daya tahan ekonomi dengan pelbagaikan sumber pertumbuhan, memperkukuh daya saing dan kedudukan fiskal negara.

“Sektor perniagaan juga tidak seharusnya bergantung nilai dengan ringgit semata-mata malah patut tumpukan produktivititi dan inovatif serta pengurangan kos,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.