Pemilik Chelsea derma dana pendatang haram Yahudi

167

22 SEPT: Syarikat-syarikat yang dikuasai Roman Abramovich, yang juga pemilik kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea, telah menderma lebih AS$100 juta kepada pertubuhan pendatang Yahudi yang menjalankan kegiatan yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa di Jerusalem Timur.

Siasatan BBC News Arabic mendapati hartawan Rusia itu menderma wang kepada Elad, yang menjalankan perniagaan pelancongan di Silwan di Jerusalem Timur, melalui syarikat-syarikat luar pesisir di Kepulauan Virgin British.

Bekas pengarah pemasaran Elad, Shahar Shilo berkata, strategi syarikat tersebut adalah menggunakan pelancongan bagi mewujudkan realiti politik berbeza di kawasan kejiranan yang mempunyai ramai warga Palestin itu.

Maklumat itu timbul selepas kebocoran Fail-fail Fincen Buzzfeed, yang menyebabkan pendedahkan sejumlah besar maklumat kewangan sulit banyak syarikat yang disimpan oleh bank-bank.

Dokumen-dokumen yang dibocorkan itu menunjukkan bahawa sumbangan daripada empat syarikat di Kepulauan Virgin British adalah hampir separuh daripada keseluruhan derma yang diberi oleh Elad sepanjang 2005 hingga 2018.

Abramovich disenaraikan sebagai pemilik tiga syarikat terbabit dan mempunyai pegangan majoriti dalam syarikat keempat, sekali gus menjadikannya penyumbang terbesar kepada Elad sejak 15 tahun lalu.

Jurucakap Abramovich berkata, hartawan tersebut ialah seorang penyokong yang komited dan pemurah terhadap masyarakat sivil Israel dan Yahudi.

Sejak 20 tahun lalu, beliau telah menderma lebih AS$500 juta untuk penjagaan kesihatan, sains dan pendidikan kaum Yahudi di Israel dan seluruh dunia.

Dana yang disumbangkan oleh Abramovich digunakan oleh Elad untuk membeli rumah-rumah milik rakyat Palestin di Silwan dan memperkukuhkan kedudukan pendatang haram Yahudi di sana.

BBC juga mendapati wang yang didermakan oleh Abramovich digunakan untuk menampung peruntukan dan kempen mengusir rakyat Palestin di kawasan berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.