Mohamaddin, menteri era PH yang mendukacitakan

82

22 SEPT: Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi yang mempersendakan anggota keselamatan apabila mendakwa mereka hanya berperang dengan anjing dan ayam ketika insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu sebagai sungguh mengecewakan.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kenyataan terbabit tidak seharusnya dikeluarkan oleh seorang calon yang juga bekas anggota Kabinet Persekutuan.

“Kita sepatutnya menghargai segala jasa dan bakti yang disumbangkan anggota keselamatan kepada kita kerana mereka sanggup berjuang mempertahankan kedaulatan negara berjuang dan menjaga keselamatan kita.

“Oleh demikian, kita seharusnya mesti menghormati dan menyokong pasukan keselamatan kerana disebabkan mereka kita dapat hidup dalam keadaan aman damai sekarang.

“Jadi bagi saya apa yang telah dinyatakan oleh beliau (Mohamaddin) adalah sesuatu yang amat mendukacitakan,” katanya ketika ditemui selepas program Sayangi Sabah Bersama Bersatu di Kampung Pengalat Besar di Papar hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Bersatu Papar merangkap calon DUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Lajim Ukin.

Sementara itu, beliau turut berkata, momentum PN dalam menghadapi PRN ini dilihat semakin memberangsangkan berikutan semakin ramai yang menyatakan sokongan kepada PN.

“Nampaknya dari hari ke hari sepanjang kita berkempen ini, kita menerima banyak sokongan daripada parti lain. Banyak pemimpin dari Warisan telah keluar meninggalkan parti dan menyokong kita jadi saya kira ini merupakan satu perkembangan yang baik.

“Beberapa kawasan yang saya sudah pergi dan nampak keadaan itu menjadi semakin bertambah baik seperti hari ini di mana banyak penyokong Warisan menyokong calon kita di sini dan begitu juga kawasan lain.

“Mudah-mudahan ini dapat diterjemahkan semasa pembuangan undi dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal memperoleh kemenangan nanti,” katanya.

Hari ini, penyerahan borang keahlian Bersatu seramai 1,200 orang dari enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Warisan Kawang diserahkan kepada Ghulam Haidar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.