Kes meningkat, satu lagi kluster di Sabah

97

22 SEPT: Kes baru COVID-19 terus meningkat dengan 82 penularan dilaporkan hari ini yang turut melibatkan 10 kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah terus mencatatkan kes tertinggi dengan 60 kes dengan satu lagi kluster dilaporkan iaitu kluster Bangau-Bangau di Semporna.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 41 kes dilaporkan dari kluster Benteng LD manakala masing-masing enam kes dari Pulau di Kunak dan Selamat di Semporna.

Katanya, kluster Bangau-Bangau pula melaporkan lima kes manakala dua lagi melibatkan saringan dalam komuniti dan saringan rujukan ke hospital.

“Kedah pula melaporkan 10 kes dengan sembilan daripadanya dari kluster Sungai dan satu lagi saringan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Dua lagi kes tempatan ialah masing-masing satu di Sarawak dan Selangor. Di Sarawak melibatkan saringan rujukan ke hospital dan Selangor saringan pra pembedahan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, 10 penularan dari luar negara yang dikesan hari ini melibatkan kepulangan dari dua negara iaitu sembilan dari India dan satu dari Indonesia.

“Kesemua yang pulang dari India itu melibatkan pelajar perubatan manakala dari Indonesia pula jurutera perkapalan,” jelasnya.

Sementara itu, kata beliau, KKM hari ini melaporkan 168 kes sembuh dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 665 kes.

Katanya, sebanyak sembilan kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian dicatatkan dan dengan ini jumlah kematian kekal 130 kes,” ujarnya.

Tambah Noor Hisham, kluster Bangau-Bangau dikenal pasti hasil saringan kemasukan pesakit ke Hospital Semporna dengan lima kes (iaitu kes ke-10340 hingga ke-10344) telah dikesan positif COVID-19.

Daripada jumlah itu, katanya, empat kes merupakan warganegara Malaysia dan satu kes merupakan bukan warganegara dengan kesemua mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Semporna untuk rawatan.

Sehingga 12 tengah hari ini, ujarnya, sejumlah 97 individu telah disaring dan 92 individu masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di Hospital Semporna. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan. Perkhidmatan di Hospital Semporna berjalan seperti biasa,” katanya.

Menurut Noor Hisham, walau kluster baru dilaporkan dari semasa ke semasa, yang penting ialah tindakan pengawalan penularan yang mana 98 kluster telah berjaya ditamatkan sebelum ini.

“Tinggal 15 kluster sahaja lagi ketika ini. Aktiviti kesihatan awam akan dijalankan di lapangan dengan pemantauan berterusan ke atas kumpulan sasar dan lokaliti tertentu yang ketika ini seperti di Kunak, Lahad Datu, Tawau dan Semporna.

“Salah satu faktor kebimbangan kita penyakit itu dibawa pendatang asing tanpa izin (PATI) sebab itu, kita perlu terus kawal sempadan kita dan beri kerjasama kepada pihak berkuasa terlibat,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.