GRS mampu rampas kerusi Warisan

409

22 SEPT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu menawan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) juga dijangka tiada masalah besar untuk mempertahankan kerusi DUN dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah itu berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan angin perubahan yang bertiup kencang di Negeri di Bawah Bayu sekarang serta peningkatkan sokongan dalam kalangan pengundi termasuk di kawasan kubu kuat Warisan terhadap calon GRS pada PRN kali ini.

perikatan nasional
PN semakin mendapat tempat di Sabah.

“Insya-Allah, kita akan menubuhkan kerajaan selepas PRN kerana kita dapat lihat sambutan yang diterima di kawasan-kawasan tertentu yang dahulunya dimenangi oleh Warisan begitu memberangsangkan, kita dapat rasakan banyak perubahan.

“Jadi, kita akan dapat mengambil alih atau menang di kawasan-kawasan tersebut dan seterusnya menubuhkan kerajaan baharu,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang peluang PN and GRS secara keseluruhannya pada PRN kali ini selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Lok Nunuk.

Dalam pada itu Hajiji yang bertanding atas tiket PN di DUN Sulaman juga yakin rakyat di kawasannya sudah dapat menilai apa yang berlaku selama dua tahun di bawah pemerintahan Warisan Plus.

“Rakyat menganggap bahawa kerajaan Warisan gagal melaksanakan tugas mereka kepada rakyat sehingga ekonomi begitu jatuh jauh merundum dan pentadbiran kerajaan negeri pun nampak tidak menentu.

“Ini telah menjadi penilaian rakyat. Jadi saya yakin dalam PRN kali ini mereka akan ubah balik kerajaan. Ini keyakinan saya bersama dengan GRS. Insya Allah, kita akan menang dalam PRN ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.