Dewan Negara lulus pindaan RUU Pengangkutan Jalan

107

22 SEPT: Dewan Negara hari ini, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang bersifat menyediakan satu persekitaran pemanduan dan peredaran lalu lintas yang seragam, selamat dan efisien atas jalan raya khususnya dari segi mencegah gejala pemandu mabuk.

RUU Pengangkutan Jalan yang dibentangkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah diluluskan menerusi undian suara selepas bacaan kali ketiga dan undang-undang baharu berkenaan diluluskan tanpa sebarang pindaan.

Terdahulu, ketika menggulung perbahasan, cadangan pindaan itu juga untuk menambah baik Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] yang berkaitan dengan kesalahan memandu tidak mematuhi peraturan jalan raya khususnya pemandu mabuk sama ada menyebabkan kematian dan kecederaan.

Menurutnya, pindaan membabitkan 15 fasal utama dan menyentuh 13 Seksyen Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) itu merupakan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran supaya orang ramai mematuhi semua peraturan jalan raya, seterusnya meningkatkan tahap keselamatan lalu lintas.

“Isu kemalangan maut yang disebabkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol adalah merupakan satu perkara yang amat dipandang serius oleh kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan. Seperti umum mengetahui, kebelakangan ini, kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk semakin kerap berlaku dan dilaporkan dalam media massa.

“Pindaan yang dicadangkan juga amat penting di atas keperluan-keperluan semasa terutamanya dalam mendidik dan mengubah sikap semua pengguna di atas jalan raya. Ia akan menyumbang kepada melengkapkan keseluruhan strategi kementerian dalam meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Hasbi berkata, pindaan kesalahan memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kemalangan atau kematian pengguna jalan raya lain yang dikategorikan sebagai pemanduan secara melulu atau berbahaya turut diluluskan.

Menurut beliau, RUU itu turut meminda kadar alkohol yang kini ditetapkan 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas; 50 miligram (mg) alkohol dalam 100ml darah atau 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.

“Ia turut meluluskan pendefinisian semula kenderaan mikromobiliti, termasuk basikal lajak sebagai kenderaan motor, selain meminda hukuman kepada denda minimum RM1,000 atau maksimum RM5,000 dan penjara tidak melebihi 12 bulan, jika sabit kesalahan.

“Melalui kelulusan RUU itu, Seksyen 41 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian akan memperuntukkan hukuman penjara antara lima ke 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun, bagi sabitan pertama.

Tambahnya, pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun, denda RM50,000 ke RM100,000 atau hilang kelayakan lesen selama 10 tahun, bagi sabitan berikutnya.

“Tempoh hilang kelayakan lesen bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan dinaikkan kepada minimum lima tahun, manakala 10 tahun bagi sabitan seterusnya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.