USNO terbuka sertai kerajaan campuran

281

21 SEPT: Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bersedia bekerjasama dengan mana-mana pakatan politik sama ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Plus jika mereka memerlukan sokongan calonnya yang menang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini untuk membentuk kerajaan campuran.

Ketua Umumnya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, USNO sedia berbuat demikian dengan syarat gabungan parti berkenaan bersedia untuk meneliti dan melaksanakan beberapa perkara yang terkandung dalam janji manisfesto diumumkannya sebelum ini.

Pandikar
Pandikar Amin Mulia meninjau masalah penduduk di Tanjung Kapor.

“Kalau ditakdir ada sesebuah parti memerlukan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) USNO yang menang PRN untuk membentuk sebuah kerajaan selepas 26 September ini maka kita bersedia bergabung dengan parti berkenaan.

“Bagaimanapun, parti berkenaan kena pertimbangkan juga beberapa perkara dijanjikan USNO kepada rakyat dalam manifesto parti baru-baru ini. Jika mereka bersedia menerima dan melaksanakan sekurang-kurangnya sebahagian daripada manifesto dijanjikan USNO maka kita tiada masalah untuk membantu mereka membentuk kerajaan campuran untuk mentadbir Sabah untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

“Kalau sebaliknya semua janji dalam manifesto yang dibentangkan oleh USNO kepada rakyat langsung tidak diterima parti terbabit maka macam mana kami nak bergabung dengan mereka untuk membentuk kerajaan campuran di Sabah nanti,” katanya ketika ditemu bual di kediamannya di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud, hari ini.

Antara perkara penting yang ditekankan dalam manifesto USNO termasuk menuntut jawatan penting dalam kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan Menteri Kerja Raya diberikan kepada anak Sabah atau Sarawak serta mengadakan rundingan dan tawaran baharu kepada Kerajaan Persekutuan mengenai hak Sabah.

Ditanya mengenai sasaran jumlah kerusi bakal dimenangi oleh USNO pada PRN kali ini, Pandikar Amin yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat menjelaskan partinya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana kebanyakan calon USNO bertanding atas kehendak sendiri dan menggunakan wang mereka sendiri.

Pandikar
Pandikar Amin Mulia bersama penyokong-penyokongnya dalam majlis pelancaran manifesto USNO, baru-baru ini.

“Pada peringkat awalnya demi Allah saya tidak tahu siapa mahu bertanding kerana mereka mengemukakan pencalonan dan bertanding dengan sukarela tanpa diarahkan sesiapa pun dan menggunakan wang mereka sediri.

“Di mana saya mahu ambil dana untuk membiayai calon bertanding jika parti ini tiada wang. USNO tidak mempunyai dana kerana parti ini dihidupkan semula tetapi ramai individu bersungguh-sungguh mahu bertanding atas tiket parti ini.

“Malah, ada beberapa calon USNO yang menghubungi saya untuk mendapatkan sedikit dana untuk berkempen tetapi oleh kerana parti tiada dana maka saya berikan sumbangan peribadi untuk membantu mereka serba sedikit,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.