Sukuk Prihatin terlebih langgan RM666 juta

38

21 SEPT: Sukuk Prihatin yang merupakan inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah terlebih langgan dengan jumlah langganan bernilai lebih RM666 juta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, nilai itu melepasi sasaran penerbitan asal berjumlah RM500 juta.

“Memandangkan sambutan yang amat memberangsangkan daripada pemohon yang layak, kerajaan memutuskan untuk menerbitkan langganan tambahan bernilai sebanyak RM166 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sukuk itu diterbitkan oleh kerajaan dengan tujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyumbang ke arah usaha membina semula negara pascapandemik COVID-19.

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

Tengku Zafrul menambah, dana terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada Kumpulan Wang COVID-19 untuk pelaksanaan langkah-langkah pemulihan ekonomi, seperti menambah baik kesalinghubungan sekolah luar bandar, menyokong usaha penyelidikan penyakit berjangkit dan membiayai usahawan mikro.

Beliau memberitahu, Sukuk Prihatin telah dilanggan menerusi JomPAY dan/atau DuitNow yang diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia dengan Maybank sebagai bank pengedar utama.

Tengku Zafrul berkata, langganan dalam talian ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan melakar sejarah buat sukuk digital yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang melanggan Sukuk Prihatin. Lebihan langganan dan kejayaan penerbitan Sukuk Prihatin adalah bukti semangat satu hati dan kerjasama rakyat Malaysia dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini, selaras dengan tema #MalaysiaPrihatin.

“Kerajaan percaya, semangat ‘ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’ inilah yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih teguh,” jelasnya.

Beliau menyatakan, berdasarkan penutupan tempoh langganan pada 17 September, Sukuk Prihatin akan diterbitkan pada 22 September 2020 dengan tempoh matang dua tahun.

“Ia menawarkan kadar keuntungan sebanyak 2 peratus setahun yang akan dikecualikan cukai dan dibayar setiap suku tahunan,” katanya.

Tengku Zafrul menambah, pemegang sukuk juga mempunyai pilihan untuk menderma sebahagian atau keseluruhan jumlah prinsipal langganan apabila tempoh pelaburan matang pada 21 September 2022.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.