Sabah lapor 49 kes, satu kluster baru di Sandakan

155

21 SEPT: Sebanyak 57 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Sabah mencatatkan 49 kes termasuk satu kluster baru iaitu kluster Kuarters di Tongod, Sandakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tertinggi di Sabah dilaporkan dari kluster Pulau melibatkan 14 penularan, diikuti kluster Selamat (12) manakala kluster Benteng LD, lima kes.

Katanya, kluster baru iaitu kluster Kuarters pula melaporkan lima kes manakala lain-lain melibatkan kes saringan di lokap, pra pembedahan, rujukan hospital dan kontak rapat.

Menurut beliau, kes-kes itu dilaporkan di beberapa daerah di Sabah iaitu Beaufort, Lahad Datu, Likas, Kota Kinabalu dan Tawau.

“Terdapat dua lagi kes tempatan hari ini yang masing-masing satu di Kedah dan Selangor. Kes di Kedah membabitkan kluster Sungai manakala di Selangor saringan pra pembedahan seorang bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Noor Hisham, hari ini juga terdapat enam kes import dengan tiga kes jangkitan dari Indonesia melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) manakala bakinya masing-masing satu kes dari Zambia, United Kingdom dan Pakistan.

“Ingin dimaklumkan pengesanan kontak rapat masih dijalankan bagi semua kes positif COVID-19. Kesemua kontak rapat yang dikenal pasti perlu dikuarantinkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selama 14 hari serta akan menjalani ujian saringan seperti yang ditetapkan dalam perintah tersebut.

“Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan tiada pertambahan kematian dan kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 130 kes,” jelasnya.

Mengenai kluster Kuarters di Tongod, Noor Hisham berkata, ia dikenal pasti hasil saringan yang telah dijalankan di sekitar daerah Tongod susulan saringan COVID-19 seorang petugas kesihatan yang didapati positif ujian saringan RTK Antigen pada 4 September 2020.

Katanya, petugas kesihatan itu telah disaring sebagai saringan rujukan ke hospital namun, ujian pengesahan COVID-19 ke atas beliau (iaitu rt-PCR) didapati negatif.

“Saringan di sekitar daerah Tongod yang bermula pada 6 September 2020 telah melibatkan masyarakat setempat termasuk petugas kesihatan Klinik Kesihatan tersebut. Lima kes positif COVID-19 telah dikenal pasti setakat ini.

“Kesemua kes positif (iaitu kes ke-10,253 hingga ke-10,257) dalam kluster ini merupakan warganegara. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan,” katanya.

Tambah Noor Hisham, sehingga 12 tengah hari, sejumlah 117 individu telah disaring dengan 112 masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di Klinik Kesihatan Tongod.

“Semua pesakit yang mempunyai temujanji di klinik tersebut telah dirujuk ke Klinik Kesihatan yang berdekatan. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan.

“Perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Tongod akan bermula semula setelah aktiviti nyah kuman dan proses pembersihan tamat kelak,” ujarnya. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.