PRN Sabah: 16,877 undi awal esok

85

21 SEPT: Seramai 16,877 pengundi akan terlibat dalam proses mengundi awal di 55 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, mulai jam 8 pagi, esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah itu merangkumi 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis di seluruh negeri.

Menurut beliau, berikutan situasi pandemik COVID-19 ketika ini, proses pengundian awal itu turut menekankan pematuhan kepada garis panduan pencegahan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan COVID-19 yang berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.

“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon dan Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik oleh SPR. Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara langsung menerusi laman Facebook SPR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ikmalruddin memberitahu, sejurus selesai proses berkenaan, semua peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap balai polis yang terbabit.

Beliau menambah, kertas undi hanya akan dikira pada 26 September 2020 bermula jam 4 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen calon masing-masing,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.