Nafi hina polis dan tentera, dakwa diputar belit lawan

874

21 SEPT: Selepas dikritik pelbagai pihak kerana menyifatkan insiden pencerobohan Lahad Datu tujuh tahun lalu sebagai satu sandiwara, Datuk Mohamaddin Ketapi tampil menjelaskan yang beliau tidak sama sekali berniat menghina anggota keselamatan.

Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu menjelaskan, sebaliknya kenyataannya dalam rakaman video yang ditularkan itu telah diputar belit oleh pihak lawan khususnya parti Semenanjung.

“Walaubagaimanapun, saya ingin memohon maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat tersebut mengguris hati anggota-anggota keselamatan keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam reaksi balasnya itu, Mohamaddin yang dalam usaha mempertahankan diri menyalahkan pula kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) menyelesaikan isu pendatang tanpa izin.

Menurut bekas Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) itu, seharusnya video yang ditularkan tersebut dimainkan sepenuhnya dan bukan hanya merujuk kepada soal tersebut semata-mata.

Katanya, beliau mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor pihak tertentu yang jelas mahu menjatuhkan maruah Warisan.

“Sekiranya isu pendatang tanpa izin menjadi keutamaan kerajaan terdahulu, kejadian di Tanduo tidak mungkin berlaku,” jelasnya.

Tambah Mohamaddin, kenyataannya ketika berceramah di Kampung Wawsan telah disalah ertikan dan tidak pernah sama sekali memperkcil apatah lagi mengghina anggota keselamatan yang telah berjuang menjaga kedaulatan negara daripada penceroboh.

“Ketika memberikan ceramah tersebut, saya memberikan gambaran akan kesukaran yang dihadapi oleh anggota keselamatan kita dalam mempertahankan kedaulatan negara yang berpunca daripada kelemahan kerajaan terdahulu dalam menyelesaikan isu pendatang tanpa izin,” katanya.

Mohamaddin dikritik pelbagai pihak termasuk pemimpin Sabah seperti Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berikutan kenyataannya itu yang tidak dapat diterima sama sekali.

Dalam rakaman video yang tular itu, Mohamaddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi Warisan antara lain mendakwa peristiwa pencerobohan itu sandiwara dan anggota keselamatan ketika itu berperang dengan anjing dan ayam di Tanduo.

Dakwanya, peristiwa Lahad Datu yang berlaku pada tahun 2013 itu kerana sandiwara kerajaan mahu mengadakan pilihan raya.

Kejadian lebih tujuh tahun lalu itu turut mengorbankan nyawa anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan Sabah daripada penceroboh bersenjata itu. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.