Mazlina mengaku terlebih bayar kad kredit Zahid

308

21 SEPT: Saksi pendakwaan ke-90, Mejar Mazlina Mazlan mengakui terlebih bayar sebanyak RM196,000 untuk pembayaran empat kad kredit milik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menggunakan cek Yayasan Akalbudi.

Mazlina membuat pengakuan itu dalam prosiding perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Mazlina juga mengakui menggunakan tiga cek untuk membayar satu penyataan kad kredit.

mazlina
MAZLINA MAZLAN

Ahmad Zaidi: Kenapa guna tiga cek untuk bayar satu penyata kad kredit?

Mazlina: Bank tak ada komplen.

Ahmad Zaidi: Puan tahu tak setiap buku cek mempunyai 100 helaian cek?

Mazlina: Tahu.

Mazlina mengakui sejak mengambil alih tugas sebagai Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid daripada Datuk Rosiah Osman, semua buku cek peribadi dan buku cek milik yayasan adalah di dalam simpanannya.

Katanya, semua buku cek itu disimpan di dalam laci berkunci di pejabatnya tetapi apabila berlakunya peralihan kerajaan pada Mei 2018, dia tidak ingat dan tidak merekodkan serta tidak membuat catatan siapa yang memegang kaki cek.

Ahmad Zaidi berkata, satu buku cek biasanya mengandungi 100 keping cek. Lantas beliau bertanya kepada Mazlina sama dia ada menyimpan, mencatat rekod atau membuat nota bayaran.

Ahmad Zaidi: Kaki cek pun tak ada. SPRM tak ambil?

Mazlina: Tak ingat. Tak ada. SPRM tak ambil.

Walaupun Ahmad Zaidi mendedahkan banyak kecuaian yang dilakukan Mazlina dalam pengeluaran cek tetapi beliau tidak mengakui semua kecuaian yang dilakukannya.

Beliau terdiam apabila ditanya Ahmad Zaidi tentang cek yang ditulis dengan namanya, Mazlina Mazlan selari dengan nama Ahmad Zahid di atas sekeping cek yang sama dan disertakan sekali dengan nombor telefon Mazlina.

Ahmad Zaidi: Rujuk P44. Cek ini letak nama Zahid Hamidi, letak nama Mazlina dan nombor telefon Mazlina Mazlan.

Cek ini untuk bayaran kad kredit Datuk Zahid. Dalam kes ini kamu sentiasa tulis nama Datuk Zahid, tetapi ini, tulis nama sendiri. Kenapa?

Soalan itu tidak dapat dijawab oleh Mazlina.

Ahmad Zaidi: Saya tidak boleh menipu dalam mahkamah. Kamu tidak boleh menipu dalam mahkamah. Datuk Seri Ahmad Zahid adalah bekas pegawai bank berpengalaman dan kalau nampak ada nama Mazlina di atas cek berkenaan, beliau tidak akan luluskan pengeluaran cek berkenaan. Setuju?

Mazlina: Tidak setuju.

Mazlina juga tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa 45 keping cek Yayasan Akalbudi yang dicop dengan tandatangan tidak mendapat persetujuan Ahmad Zahid.

Perbicaraan akan bersambung pada Isnin depan. – Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.