Kawalan keselamatan Sabah mesti ditingkatkan

72

21 SEPT: Pihak berkuasa perlu meningkatkan tahap kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah berikutan terdapat khabar angin mengatakan akan berlaku kemasukan besar-besaran warga asing untuk membuat kacau di Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pintu sempadan negara perlu dikawal lebih ketat bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.

Beliau yang juga Ketua Perhubungan UMNO Sabah berkata, jika perkara itu hanya khabar angin pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit.

Bung Moktar
Bung Moktar bersama tiga calon BN iaitu Andy Muhammad Suryady Bandy, Hamild Awang dan Chaya Sulaiman.

“Jika benar khabar angin ini, saya meminta pihak keselamatan jangan bertolak ansur. Kalau ada kejadian begini, bermakna sempadan kita kena (perlu) dikawal dengan seberapa ketat yang boleh.

“PRN ini penting untuk menentukan masa depan negeri kita dan kita faham kerajaan Filipina masih lagi dengan sentimen mahu menuntut Sabah walaupun hakikatnya Sabah ini milik Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama beliau di Command Centre Zon 6 (Bandar Sri Indah) di Tawau, malam tadi.

Yang turut hadir, tiga calon BN Parlimen Tawau dan Kalabakan – Hamild Awang (Balung), Chaya Sulaiman (Kukusan) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu).

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dalam sidang medianya di Kota Kinabalu memberitahu polis menerima maklumat kemasukan besar-besaran rakyat negara jikan untuk membuat kekacauan pada hari pengundian 26 September ini.

Beliau turut mengesahkan sekumpulan rakyat negara jiran cuba memasuki Sabah untuk mengundi.

Bung Moktar turut menasihatkan jentera BN supaya sentiasa berhati-hati dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dalam kesibukan berkempen, termasuk tidak membawa rombongan terlalu ramai ketika melakukan kempen dari rumah ke rumah ataupun tinjauan mesra.

Beliau berkata, tindakan seumpama itu perlu susulan peningkatan kes positif COVID-19 di daerah Tawau sehingga menimbulkan kebimbangan awam, termasuk kalangan jentera kempen dan pengundi-pengundi.

“Sebab itu saya tidak jumpa pengundi-pengundi secara terbuka tetapi saya jumpa jentera tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ini untuk memastikan mereka menggerakkan jentera dan meneruskan kempen tetapi haruslah sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Elakkan berjabat tangan kerana pegangan (sentuhan) ini juga antara punca virus berjangkit memandangkan timbul kluster-kluster baharu yang belum lagi diketahui,” jelas.

Mengenai laporan seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO positif COVID-19 selepas berkempen di Sipitang, Bung Moktar menyatakan beliau sudah menerima berita terbabit tetapi belum ada pengesahan rasmi.

“Dia cuma disyaki belum lagi positif tetapi sudah (sedang) dikuarantin selama 14 hari,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.