Dewan Negara lulus usul lantik Jawatankuasa Pemilih

94

21 SEPT: Dewan Negara hari ini meluluskan usul pelantikan lima ahli Jawatankuasa Pemilih bagi penggal ketiga, Parlimen ke-14.

Mereka yang dilantik ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim (pengerusi); Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad; Senator Idris Ahmad; Senator Susan Chemerai Anding dan Senator Lim Hui Ying.

rais yatim

Usul tersebut telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengikut Peraturan Mesyuarat 70 yang diluluskan oleh suara majoriti ahli Dewan Negara.

“Selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 72, majlis mesyuarat dengan ini memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pemilih memanggil orang hadir di hadapannya serta diminta dikeluarkan surat-surat,” katanya selepas sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Jawatankuasa Pemilih dilantik untuk menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

Sebelum ini Ahli Jawatankuasa Pemilih bagi Parlimen ke-13 ialah Rais (Pengerusi), Abdul Halim, Senator Nga Hock Cheh dan Senator Datuk Donald Peter Mojuntin.

Sementara itu, Rais turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih bagi pelantikan sebagai pengerusi dan merakamkan penghargaan kepada Takiyuddin kerana hadir untuk mengemukakan usul berkenaan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan oleh kerana yang berhormat menteri datang sendiri untuk mengemukakan usul ini apatah lagi beliau sebagai pengendali antara kerajaan dan dewan yang mulia ini.

“Kami di sini insya-Allah akan terus menghargai dan menerima apa-apa pandangan daripada yang berhormat menteri supaya urusan bina negara kita dapat diteruskan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.