Dewan Negara lulus belanjawan tambahan RM7 bilion

74

21 SEPT: Sidang Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 untuk memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2019 sebanyak RM7005.7 juta.

Rang undang-undang yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan mendapat sokongan suara majoriti Ahli Dewan Negara.

Perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk pindahan lebihan daripada Akaun Hasil Disatukan 2019 ke Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM 171.8 juta dan RM778.6 juta untuk menampung perbelanjaan luar jangka 2019.

Sebanyak RM5155.3 juta pula adalah peruntukan tambahan langsung kepada kementerian dan jabatan yang telah diberi kebenaran untuk berbelanja melebihi peruntukan bagi membiayai perkara-perkara yang komited pada 2019.

Terdahulu, kira-kira lapan Ahli Dewan Negara mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa disusuli sesi penggulungan oleh kementerian kewangan.

Kementerian berkenaan ialah Kementerian Kewangan sebanyak RM3628.8 juta, Kementerian Kesihatan (RM1179. 9 juta), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM635.9 juta), Kementerian Pendidikan (RM623.7 juta), Kementerian Pertahanan (RM362.9 juta), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (RM313.2 juta) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM77.1 juta).

Ia turut melibatkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (RM58.2 juta), Kementerian Industri Utama (RM40.3 juta), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (RM39.4 juta), Kementerian Kerja Raya (RM16.1juta), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM15.6 juta), Kementerian Luar Negeri (RM13.9 juta) dan Kementerian Pengangkutan (RM50).

Rang undang-undang itu diluluskan di peringkat dasar hari ini dengan sokongan suara terbanyak Ahli Dewan Negara. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.