DAP sorok belakang logo Warisan – Dr Latiff

120

21 SEPT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka tidak mempunyai masalah besar untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 26 September ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata berdasarkan laporan diterima beliau, GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) hampir pasti menang sekurang-kurangnya 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi pada PRN kali ini.

Dr Abdul Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing berkata kebanyakan kerusi yang dikategorikan sebagai kawasan putih berkenaan terletak di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

“Kita menghadapi kesukaran untuk menang di kawasan DUN tertentu ditandingi Warisan Plus kerana DAP tidak bertanding menggunakan lambang ‘Roket’ sebaliknya menggunakan taktik menyorok di belakang lambang Warisan untuk mengelirukan rakyat Sabah.

“Kalau nak tahu di mana DAP bertanding mestilah di kawasan bandar utama dan pinggir bandar kerana di kawasan pedalaman dan kampung ramai pengundi dan rakyat di akar umbi sudah sedar (kerana tetipu dengan janji manis dibuat Warisan sebelum ini).

“Jadi kalau kita nak bentuk membentuk kerajaan negeri baharu jentera GRS kerja lebih kuat bagi memastikan kita memperoleh lebih banyak kerusi dalam PRN kali ini,” katanya ketika ditemui wartawan PN BBC Portal selepas mengunjungi Bilik Gerakan PN di DUN Pintasan hari ini.

Yang hadir sama, calon PN di DUN Pintasan, Fairuz Renddan.

Dalam pada itu, Dr Abdul Latiff meminta rakyat Sabah membuat pilihan tepat sebelum mengundi mana-mana calon pada PRN kali ini kerana ia bakal menentukan masa depan mereka kelak.

“Pengundi di Sabah termasuk di DUN Pintasan kena tentukan calon mana yang kita mahu pilih. Terpulanglah kepada anda untuk memilih sama ada wakil parti yang tidak mungkin boleh membentuk kerajaan negeri atau calon yang mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Pusat yang kini diketuai oleh PN.

“Kalau anda kaum ibu menghadapi kesusahan nak jumpa wakil rakyat yang mana? Wakil rakyat yang ada di peringkat kerajaan negeri dan pusat atau menjadi wakil rakyat yang dia seorang sahaja menjadi wakil rakyat sebab parti yang ditandingi ialah USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu).

“Saya sudah menjelajah ke banyak tempat yakin calon USNO tidak boleh menang atau menubuhkan kerajaan negeri. Sekarang kuasa di tangan anda untuk memilih sama ada calon USNO atau Warisan yang berpuluh bulan mentadbir Sabah tetapi tidak dapat membuat sebarang perubahan atau nak pilih kerajaan baharu, itu terpulanglah kepada semua.

“Saya tidak boleh mengundi di sini, saya hanya boleh seru dan memujuk pengundi di sini supaya anda mengundi calon PN pada 26 September ini,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.