Pindaan akta tangani buli siber

109

21 SEPT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan melakukan pindaan undang-undang baharu dalam menggantikan sedia ada bagi memastikan kes buli siber dapat ditangani secara berkesan dalam media sosial.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bagi mencapai hasrat itu, kerajaan sedang melaksanakan kajian secara teliti bagi memastikan pelaksanaan undang-undang itu dapat dibangunkan secara efektif.

Pada masa yang sama, katanya, undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Jenayah Komputer 1997 boleh digunakan oleh penguat kuasa dalam menggunakan undang-undang sedia ada termasuk perundangan sivil tertakluk pada fakta kes.

SAIFUDDIN ABDULLAH

“Sekiranya undang-undang sedia ada tidak memadai bagi menangani buli siber, undang-undang tersebut perlu dipinda sewajarnya dan konsultasi awam dan pihak berkepentingan akan diadakan bagi memastikan perundangan dan pindaan baharu wajar dan berkesan.

“Pihak kementerian sedang jalankan kajian bersama universiti dan media bagi menjalankan penyelidikan berkaitan keperluan perundangan khusus anti buli siber. Sesi libat urus dan perbincangan sedang dilakukan dalam mencari jalan terbaik,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk A N Kesavadas yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat untuk mengkaji atau menggubal undang-undang bagi mengawal kes buli menggunakan media sosial.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Kesavadas yang bertanyakan jumlah laporan yang dibuat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan kes penggunaan profil palsu dalam media sosial, Saifuddin memberitahu, sebanyak 3,224 akaun palsu telah dikesan dari 2019 sehingga Ogos 2020.

Beliau menambah, daripada jumlah tersebut, sebanyak 80 peratus telah berjaya dipadamkan oleh SKMM hasil kerjasama pihak penyedia platform media sosial berlandaskan terma dan syarat yang ditetapkan.

“Kandungan lain berunsur kebencian, buli siber di mana 3,638 akaun akan dirujuk untuk tindakan lanjut bersama penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Google, YouTube dan sebagainya. 60 peratus telah dipadamkan berdasarkan terma dan syarat piawaian komuniti platform berkenaan. Selain maklumat pengguna media sosial.

“Pihak penyedia media sosial seperti Facebook turut memantau kandungan serta akaun di platform mereka yang akan diambil tindakan sewajarnya jika melanggar piawian komuniti yang telah ditetapkan oleh mereka,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.