Stor HKL terbakar, wad dikosongkan

60

20 SEPT: Kebakaran berlaku di Bilik Stor, Aras 4, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 11 malam tadi dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray berkata, kejadian kebakaran disedari apabila Bilik Kawalan dan Pusat Panggilan Hospital dimaklumkan mengenai bunyi dari penggera kebakaran yang dikesan dari alat pengesan asap.

Menurut beliau, bomba dihubungi pada jam 11.07 malam dan api berjaya dipadamkan oleh petugas hospital dengan menggunakan alat pemadam api dan hos penyembur air pada jam 11.20 malam.

kebakaran
Pesakit-pesakit dikeluarkan dari wad untuk keselamatan.

“Semasa insiden kebakaran, beberapa wad berdekatan dikosongkan dan pesakit dikeluarkan untuk tujuan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Heric menambah, Cawangan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan siasatan setelah api dipadamkan dan mengisytiharkan api telah dipadamkan sepenuh.

Beliau memberitahu, pesakit dan petugas selamat untuk kembali ke wad masing-masing pada jam 12.48 tengah malam tadi.

“Pemindahan semula pesakit ke wad masing-masing dilaksanakan dan selesai lebih kurang jam 2 pagi.

“Susulan kejadian ini, perkhidmatan di HKL tidak terjejas dan berjalan seperti biasa,” jelasnya.

Dr Heric berkata, bomba masih menyiasat punca kejadian dan HKL akan dimaklumkan tentang hasil siasatan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.