Pendapatan pelaburan kasar KWSP RM15.12 bilion

53

20 SEPT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion bagi tempoh suku kedua (Q2) berakhir 30 Jun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, ekuiti menyumbang sebanyak 54 peratus atau RM8.11 bilion kepada jumlah pendapatan kasar.

Instrumen pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM6.17 bilion manakala sektor hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing menyumbang RM0.47 bilion dan RM0.37 bilion.

Pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM13.46 bilion selepas mengambil kira penurunan nilai kos di atas ekuiti tersenarai iaitu amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.

Menurut beliau,keadaan mencabar serta tidak menentu bermula awal 2020 lepas juga tidak menunjukkan tanda pemulihan berikutan isu-isu seperti ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat-China serta penurunan harga minyak, masih berterusan dan COVID-19 terus memburukkan keadaan di negara-negara kurang bersedia menghadapinya.

Pelaksanaan perintah berkurung oleh ekonomi utama dunia serta penutupan sempadan turut menjejaskan rangkaian bekalan, seterusnya mengakibatkan kemerosotan dalam pelbagai sektor dan industri, katanya.

“Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP yang menjadi panduan kami untuk menstruktur pelaburan dan portfolio, telah membantu dalam mengharungi tempoh separuh tahun pertama yang sangat tidak menentu. Sebagai contoh, pendedahan pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap telah membolehkan kami untuk kekal teguh semasa tempoh kemerosotan pada permulaan suku kedua.

“Ini diikuti dengan kenaikan indeks FBM KLCI dan pemulihan pasaran global pada penghujung suku berkenaan berikutan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi masa hadapan, Alizakri menegaskan bahawa KWSP akan kekal berwaspada berikutan kemungkinan berlakunya gelombang kedua COVID-19 yang boleh memburukkan lagi kelemahan ekonomi di negara-negara yang masih bergelut dengan impak gelombang pertama.

Selain itu, Alizakri berkata, KWSP juga komited dalam penggunaan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai teras dalam proses membuat keputusan pelaburan.

“Mengambil kira tahap ketidaktentuan dan ketidakpastian yang kian meningkat dan menjadi satu kebiasaan, amalan ESG yang teguh akan menjadi satu keperluan. Kami juga yakin ia akan membolehkan ekonomi, industri, dan syarikat untuk lebih menyesuaikan diri dan lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.