Mustahil kerajaan negeri Sabah dapat berdikari

153

20 SEPT: Amat mustahil kerajaan negeri Sabah dapat berdikari tanpa sebarang bantuan kewangan dan dana daripada Kerajaan Persekutuan yang kini ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, ini adalah kerana tiada satu pun kerajaan negeri termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia dan United Kingdom yang dapat berdikari tanpa bantuan daripada kerajaan Pusat.

Dr Abdul Latiff berkata, keadaan itu berlaku kerana kebanyakan kerajaan negeri tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan mengurus dan membiayai projek pembangunan insfrastruktuk di negeri masing-masing.

Dr Abdul Latiff Ahmad menyampaikan ucapan di Kampung Tenambak, Kuala Penyu.

“Apa yang dikatakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak mungkin boleh berlaku kerana itu amat mustahil … tiada mana-mana negeri di dunia termasuk di negara maju yang dapat berdikari tanpan bantuan kerajaan pusat sepenuhnya.

“Sebagai contoh di Australia, United Kingdom mahu pun Amerika Syarikat sekali pun kerajaan negeri tetap akan mengharapkan bantuan dan peruntukan kewangan daripada kerajaan pusat kerana mereka tidak mempunyai dana mencukupi untuk mentadbir urus dan membangunkan negeri berkenaan sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kerosakan jambatan di Binsulok, Kuala Penyu, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Latiff berkata kerajaan negeri Sabah tidak mungkin dapat menguruskan tadbir urus dan perbelanjaan sendiri kerana pendapatannya tidak banyak.

Malah, Dr Abdul Latiff berkata beliau difahamkan setiap tahun kerajaan Persekutuan memperuntukkan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion untuk pelbagai projek pembangunan di Sabah termasuk membaik pulih dan membina jalan, menyediakan kemudahan elektrik, bekalan air luar bandar dan sebagainya.

“Jadi saya tidak nampak Sabah boleh hidup berdikari tanpa bantuan kerana kerajaan Pusat sentiasa menyalurkan bantuan kepada negeri ini sejak zaman Tun Datu Mustapha Datu Harun menjadi Ketua Menteri lagi,” katanya.

Terdahulu, Dr Abdul Latif mengumumkan kementeriannya sudah meluluskan peruntukan berjumlah lebih RM11 juta bagi menambah baik dan menaik taraf sistem bekalan air di kawasan Parlimen Beaufort.

Menurut beliau, projek berkenaan akan dijalankan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.