Kluster Ara terbaharu di Pulau Pinang

274

20 SEPTEMBER: Kementerian Kesihatan mengesan kluster baharu iaitu Kluster Ara di Pulau Pinang dan kes indeksnya adalah seorang lelaki berumur 44 tahun yang merupakan rakyat Malaysia iaitu kes ke-10024.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ebrkata, kes indeks telah dikesan positif COVID-19 melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Sandakan, Sabah pada 15 September 2020 berikutan kedatangan kes dari Semenanjung Malaysia.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan satu kes positif COVID-19 dikenal pasti.

“Kes positif ini (kes ke-10217) merupakan merupakan anak saudara kepada kes indeks (iaitu kes ke-10024).

“Kes dikesan positif COVID-19 pada 19 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, sehingga jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 16 individu telah disaring di mana dua individu dikesan positif COVID-19 manakala 14 orang lagi negatif.

Selain itu, Dr Noor Hisham menyatakan, sebanyak 27 kes baharu Kluster Benteng LD dikesan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 578 kes positif daripada 8,627 individu yang disaring.

Bagi Kluster Selamat, dua kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan tujuh kes positif daripada 213 individu yang disaring.

Kluster Bakau pula mencatatkan satu kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan empat kes positif daripada 162 individu yang disaring.

Kluster Pulau mencatatkan satu kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan empat kes positif daripada 402 individu yang disaring.

Sementara itu, berhubungan perkembangan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Amanjaya, Kedah, seramai 13,591 individu telah disaring sejak 28 Ogos lalu dan 16 orang dikesan positif COVID-19.

Bagi PKPD Secara Pentadbiran (PKPDSP) di Kota Setar, Kedah, sebanyak 17,954 individu telah disaring sejak 11 September lalu dan 17 orang didapati positif COVID-19.

PKPDSP di Penjara Tawau dan Kuarters, Sabah pula menyaksikan seramai 6,345 indivividu disaring sejak 11 September lalu di mana 426 individu dikesan positif COVID-19.

Secara keseluruhan, sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 52 kes baharu yang dilaporkan di Malaysia, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,219 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 734 kes.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 40 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,355 kes iaitu 91.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 52 kes baharu yang dilaporkan, 12 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara dan sembilan bukan warganegara dari India (8 kes) dan masing-masing satu kes melibatkan warga Indonesia, Bangladesh, Yaman dan Rusia,” jelas Dr Noor Hisham.

Sehingga kini, terdapat 10 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 130 kes iaitu 1.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.