JKKP siasat insiden dinding parapet hempap kereta

132

20 SEPTEMBER: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan dan Putrajaya akan menjalankan siasatan komprehensif berhubung kemalangan akibat insiden dinding parapet di tapak projek SUKE yang terlibat dalam kemalangan petang semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkatatelah mengeluarkan arahan serta-merta untuk menghentikan kerja pemasangan dinding parapet di tapak projek berkenaan.

“Siasatan komprehensif adalah bagi bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan samada terdapat perlanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian tersebut, sseorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya dihempap kepingan dinding parapet ketika melalui kawasan pembinaan SUKE di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Ampang dekat Sungai Besi.

Kepingan konkrit pembinaan lebuh raya anggaran satu meter persegi jatuh atas kereta Proton Saga FLX milik mangsa dan wanita itu cedera di tangan.

Beliau menambah, mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan,” jelasnya.

Selain itu, Awang memberitahu, Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 ataupun OSHCIM juga mengkehendaki setiap pihak berkepentingan dalam industri pembinaan termasuklah klien, pereka bentuk dan kontraktor, memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja bermula daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.