Janji manis Warisan lesap selepas dapat kuasa

68

20 SEPT: Segala janji manis Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hilang entah ke mana selepas mereka berkuasa.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kalabakan, Aslan Fadli Samsul Alang berkata, Warisan telah mengabaikan banyak janji mereka kepada rakyat.

“Sebelum mencapai kemenangan Parti Warisan berjanji bulan bintang tapi ternyata apabila menang bulan tidak timbul dan bintang hilang entah ke mana,” katanya ketika berucap kepada jentera dan pengundi muda di Pusat Operasi Barisan Nasional (BN) Kalabakan, malam tadi.

Aslan Fadli
Aslan Fadli berucap kepada jentera dan pengundi muda di Pusat Operasi BN Kalabakan, malam tadi.

Menurut beliau, golongan muda merupakan ‘mangsa’ yang teruk terjejas akibat kegagalan Warisan menunaikan janji.

“Mereka janji pada kita macam-macam tapi langsung tidak ada yang ditunaikan sedangkan dulu kata kalau menang suara orang muda akan dengar, janji hapus PTPTN untuk orang muda, nak beri peluang pekerjaan tapi yang ada golongan muda hilang pekerjaan,” jelasnya.

Aslan Fadli memberitahu, rakyat khususnya golongan muda telah sedar bahawa hanya BN yang mampu membela nasib mereka lantaran perbandingan yang telah dibuat.

“Kita jentera Pemuda Kalabakan ini paling setia dengan BN. Di waktu kekalahan UMNO mereka ini tetap pertahan parti dan tidak melompat, mereka ini tetap akan radu sampai rata… dan kini mereka ini semuanya bertungkus-lumus untuk menangkan calon BN Kalabakan iaitu di DUN Kukusan dan di DUN Tanjung Batu.

“Kita semua Pemuda bersatu hati kerana kita mahu BN berkerajaan semula di Sabah. Pemuda Kalabakan akan tetap radu walau siapa pun parti lawan,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.