IWK nafi loji punca air Sg Gong warna hitam

178

20 SEPT: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menegaskan bahawa kejadian air hitam di Sungai Gong, Rawang, Selangor, semalam bukan berpunca daripada pelepasan efluen Loji Rawatan Kumbahan Rawang Integrated Industrial Park (GBK134).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam berkata, petugas IWK di loji terbabit telah mengenal pasti kemasukan buangan bukan kumbahan berwarna kuning ke dalam kebuk masuk loji berkenaan, sehingga menyebabkan efluen di peringkat proses akhir loji tercemar dengan warna kuning pekat.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, petugas IWK terus menghentikan pelepasan discaj efluen dan operasi pembersihan segera dilaksanakan, dan akan siap sepenuhnya hari ini.

“Loji ini merupakan “Oxidation Ditch (OD) Plant” yang bersambung kepada 11,106 penduduk setara, yang hanya meliputi kawasan perindustrian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Narendan menjelaskan, kerja-kerja dos bahan kimia telah dijalankan dengan pantas bagi mengawal keadaan.

“Petugas kami di loji terbabit masih memantau dan mengawal kemasukan air kumbahan ke loji terbabit.

“Kami mengesyaki terdapat pembuangan sisa secara haram yang berlaku berdekatan dengan loji kami sehingga bahan terbabit dapat mengalir masuk ke dalam loji,” katanya.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan media semalam melaporkan, air Sungai Gong menjadi warna hitam tetapi tiada bau, dan disyaki disebabkan oleh pewarna.

Pada masa yang sama, LUAS turut menyatakan terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih dari discaj efluen loji IWK.

Narendran menambah, kenyataan LUAS itu akan mengelirukan orang awam dan sekali gus, menyebabkan mereka menuding jari kepada IWK biarpun punca sebenarnya, adalah mungkin disebabkan pembuangan sisa secara haram.

Untuk makluman, loji rawatan air kumbahan hanya direka bentuk untuk merawat air kumbahan sahaja dan tidak mampu merawat apa-apa bahan kimia atau sisa lain yang dilepaskan secara haram ke dalam jajaran paip pembetungan.

IWK juga ingin melahirkan rasa amat kecewa kerana sering menjadi sasaran mudah kepada sebarang kejadian pencemaran air seperti kejadian itu tanpa membuat pemeriksaan rapi atau melaporkan maklumat secara menyeluruh.

“IWK sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 7,000 buah loji dibawah selian IWK, sentiasa mengikut spesifikasi serta prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Sisa bukan kumbahan seringkali dimasukkan ke dalam kebuk pembetungan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Jadi, adalah lebih baik semua pihak bekerjasama dalam menangani isu pencemaran sebenar,” katanya.

Pembuangan sisa haram bukan kumbahan adalah satu kesalahan menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.