Runding Filipina, Najib bagi sindiran pedas pada Shafie

217

19 SEPT: Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana melaungkan slogan ‘Sabah for Sabahan’ namun dalam masa sama meminta Kerajaan Persekutuan berunding dengan Filipina berhubung tuntutan republik terbabit ke atas Sabah.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan itu berkata, apa guna Mohd Shafie melaungkan slogan ‘Sabah for Sabahan’ jika beliau mahu melayan tuntutan Filipina.

Bekas Pengerusi BN itu menegaskan, selama menjadi Perdana Menteri selama lebih sembilan tahun, beliau bukan hanya sentiasa mempertahankan kedaulatan Sabah, malah tidak pernah terlintas untuk berunding dengan kerajaan Filipina berhubung tuntutan mereka ke atas Sabah.

“Mohd Shafie memainkan isu ‘Sabah for Sabahan’ tetapi dia nak suruh kerajaan berunding dengan Filipina. Kalau begitu apa makna slogan Sabah for Sabahan.

“Orang yang hanya boleh menyelamatkan Sabah ialah BN. Sebab selama saya menjadi Perdana Menteri selama sembilan tahun kita tidak pernah berkompromi isu kedaulatan dan keselamatan Sabah, apatah lagi terlintas mahu berunding dengan Filipina.

“Sebaliknya Filipina meminta saya menyelesaikan isu Mindanao dan menjemput saya ke Manila untuk menjadi orang tengah dalam perjanjian damai dengan MILF,” katanya pada program kempen di DUN Usukan, Kota Belud.

Yang hadir sama, calon BN di DUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Mengulas lanjut, Najib berkata Filipina berbuat demikian kerana mereka menghormati dan menghargai kerajaan Malaysia kerana hubungan baik antara kedua-dua negara.

Justeru, Najib berasa pelik kenapa kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie tiba-tiba bersungguh-sungguh mahu kerajaan Malaysia berunding soal tuntutan republik terbabit ke atas Sabah.

“Ada benda sulit ke? Ada benda di belakang tabir ke? Tetapi bagi saya bila sampai kepada hak dan kedaulatan negeri Sabah, ia memang tidak boleh dirundingkan. Tidak mungkin. Tidak Mungkin. Jadi undilah BN,” katanya.

Najib juga melahirkan rasa simpati kepada masyarakat Sabah kerana masih berhadapan dengan masalah bekalan air biarpun peruntukan sudah diluluskan ketika beliau masih lagi menjadi Perdana Menteri.

Beliau juga menegaskan bahawa jika BN masih memerintah Sabah sudah pasti masalah bekalan air selesai dengan pembinaan loji rawatan bekalan air yang dirancang, sebelum ini. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.