Politik Baru, Politik Lama

51

Kali pertama saya dengar terma ‘Politik Lama’ yang dibandingkan dengan ‘Politik Baru’ ialah dalam suatu forum bersama Datuk Saifuddin Abdullah sebelum PRU14.

Ketika itu Saifuddin mencanang Politik Baru yang disimpulkan sebagai “Good Governance” atau urustadbir baik yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan.

Pada masa itu, Saifuddin berada dalam PKR, antara pendokong kepada PH yang turut menjanjikan Malaysia Baru!

Tumpuan politik saya ialah untuk memperkasakan kommuniti selaras dengan amalan demokrasi di mana seseorang warganegara harus mengimbangkan tuntutan hak dengan tanggungjawabnya. Ini telah diibaratkan Saifuddin sebagai ‘Politik Lama’.

PRU14 menyaksikan pengundi terpengaruh dengan janji-janji Politik Baru dalam rangka Malaysia Baru. PH pun menjadi pemerintah baru negara.

Janji sebuah Malaysia Baru berkecai bersama janji-janji lain yang tidak tertunai selepas 22 bulan. Dan Saifuddin yang mendudukki jawatan Menteri Luar serta terkenal bukan kerana “Good Governance” tapi tuduhan wujudnya sebuah “Deep State” atau Darul Terpendam, pun antara pemimpin yang meninggalkan PH untuk bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kerajaan baru BN.

‘Malaysia Baru’ bertukar pula kepada ‘Malaysia Perihatin’!

Sekarang giliran seorang lagi bekas menteri PH untuk membawa ide ‘Politik Baru’ untuk menggantikan ‘Politik Lama’!

Definisi ‘Politik Lama’ oleh Syed Saddiq ialah Politik Berdendam (“politics of vengeance”) dan Politik Perpecahan (“politics of division”). Ianya berbeza dengan definisi Saifuddin, iaitu pemerkasaan kommuniti atau masyarakat.

Parti politik tajaan Syed Saddiq ingin meninggalkan “politics of the past” atau politik masa lampau. Lebih kurang, bergerak dengan satu wawasan baru atau “Brave New World” di mana kepimpinan negara bakal dianggotai oleh orang muda.

Hanya ‘politik masa lampau’ yang dianggapnya jelik itu turut melihat penyertaan oleh dan sumbangan dari pemimpin-pemimpin muda, dari berbagai bidang dan bukan hanya dalam bidang politik.

Contoh yang telah saya sentiasa gunakan ialah bagaimana Dasar Ekonomi Baru telah dirangkakan oleh cendiakawan-cendiakawan yang ramainya berumur di bawah 40 tahun. Dan DEB tidak dapat dinafikan telah membawa perubahan sehingga semenjak itu dapat meredakan sentimen perkauman berasaskan fungsi ekonomi mengikut identiti kaum.

Secara positif mungkin boleh dianjurkan bahawa kehilangan aspek fungsi ekonomi yang berasaskan identiti kaum (iaitu asas DEB) telah memberi keyakinan kepada orang muda untuk ingin meninggalkan ‘politik masa lampau’ yang dikatakan jelik dan kuno itu.

DEB telah membawa negara dan rakyat ke hadapan dengan berbagai pencapaian sehingga bolih dihujahkan terdapat imbangan diantara kejayaan material dengan kejayaan kerohanian.

Betul, adanya pihak yang mempersendakan imbangan kehidupan ini sebagai proses ‘Islamisation’. Mungkin kerana mereka lebih gemar kepada sebuah negara dan masyarakat yang sekular. Mungkin juga imbangan diantara kebendaan dan kerohanian dikhuatiri menular ke dalam aktiviti ekonomi negara sehingga menghakis dominasi segelintir penganut ekonomi liberal.

Maka canangan Politik Baru itu harus membawa bersamanya ide baru tentang pengurusan ekonomi dan kewangan negara juga. Kalau setakat menjanjikan kepimpinan muda tanpa wawasan baru dan berani dan tertumpu hanya kepada ide politik seperti pendidikan percuma, penghapusan PTPTN dan lain-lain, iaitu lebih kurang semacam janji manifesto PH, apa maknanya ‘Politik Baru’ itu?

Mungkin kenalah rakyat tunggu sehingga PRU15 ketika mana janji ‘Politik Baru’ itu lebih lagi diperincikan sebagai sebuah wawasan sebuah ‘Brave New Malaysia’?

Bagi saya, perubahan yang berasaskan kepada kesinambungan diantara yang lama dengan yang baru lebih realistik kerana Malaysia hari ini sudah jauh berbeza dari Malaysia yang dulu. Pencapaian ini berlaku tanpa mengugat pun kestabilan dan ketahanan negara.

Ketidaktentuan politik yang dialami negara ialah akibat dari percubaan pembentukan sebuah ‘Malaysia Baru’ yang bertentangan dengan imbangan antara kejayaan material dengan kejayaan spiritual yang sudah terbentuk secara berperingkat mengikut kemampuan semasa rakyat dan negara.

Akhirnya, kerajaan yang terbaik bukan kerana kepandaian tapi kerana kewarasan.

Bukan kerana kekuatan tapi kerana keadilan.

Bukan kerana memenuhi aspirasi satu generasi tapi kerana imbangan antara berbagai keperluan.

Yang lama bukan tidak berani tapi sudah lama berani.

Yang muda tetap berani tapi belum tahu berapa lama berani.

#BeraniKeranaBenar

#SudahLamaBerani

-Oleh TAN SRI SHAHRIR ABDUL SAMAD – Tok Uban

Get real time updates directly on you device, subscribe now.