Penerbangan ke Sabah ditambah

45

19 SEPT: Jumlah penerbangan ke Sabah akan ditingkatkan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ketika ini kekerapan penerbangan ke Sabah sudah ditambah dan akan terus meningkat sehingga hari pengundian.

Katanya, harga tiket penerbangan ketika ini sudah berada pada paras rendah demi kemudahan orang ramai.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini pun, harga tiket sudah diturunkan dengan membuang kos pengoperasian.

“Harganya lebih rendah tidak kira Sabah dan Sarawak. Waktu ini harga tiket sudah dapat dilandaikan dan tidak setinggi biasa.

“Kekerapan penerbangan juga akan ditambah, khususnya menjelang hari pengundian nanti,” katanya dalam sidang media di Sandakan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan warga Sabah yang berada di luar negeri membeli tiket lebih awal bagi pulang menunaikan tanggungjawab.

Ka Siong berkata, pengundi turut digalakkan membeli tiket penerbangan lebih awal bagi mengelak kemungkinan tambang melambung tinggi pada saat akhir.

Terdahulu, ramai pihak mendesak kerajaan menurunkan harga tiket penerbangan ke Sabah, bagi membolehkan rakyat Sabah di Semenanjung dan Sarawak pulang mengundi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.