Nyaris maut kepingan konkrit timpa kereta

285

19 SEPT: Seorang wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya dihempap kepingan konkrit pembinaan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Ampang dekat Sungai Besi, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu tular di media sosial apabila satu video menunjukkan mangsa dibantu keluar daripada kenderaannya oleh orang ramai selepas dihempap konkrit berkenaan.

Video berdurasi kira-kira 30 saat itu turut menunjukkan kepingan konkrit sebesar satu meter dari sebuah lebuh raya dalam pembinaan yang menghempap bumbung kereta mangsa.

Insiden berkenaan disahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.

“Kepingan konkrit pembinaan lebuh raya anggaran satu meter persegi jatuh atas kereta Proton Saga FLX milik mangsa.

“Mangsa cedera di tangan dan (sudah) dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk di lokasi dan satu lorong terpaksa ditutup bagi kerja mengalihkan kenderaan.

Katanya, kerja pengalihan dan pembukaan semula lorong mengambil masa selama dua jam.

Wanita terbabit dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan lanjut dan tidak ada mangsa atau kenderaan lain terlibat dalam kejadian terbabit.

Sementara itu, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn.Bhd., pemaju bagi projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mengesahkan satu kejadian dinding parapet terjatuh dari struktur binaan lebuh raya dan menghempap sebuah kereta berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2.

“Dalam kejadian tersebut, pemandu kereta terlibat cedera ringan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan segera,” kata kenyataan syarikat itu

Justeru kata kenyataan itu, pihak pemaju Lebuh Raya SUKE telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja serta-merta di tapak kejadian dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan.

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) SUKE telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta yang terlibat.

“Segala kesulitan yang timbul dari insiden ini amatlah dikesali dan SUKE akan memastikan segala aspek keselamatan sentiasa diutamakan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa demi keselamatan semua.

“Untuk mendapatkan maklumat terkini atau menghantar maklumbalas, sila berhubung dengan saluran komunikasi SUKE,” kata kenyataan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.