Kilang haram tak tutup, pusat khidmat YB pula disita

291

19 SEPT: Tindakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham semalam didakwa kerana bermotifkan politik.

Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin berkata, kerajaan Negeri Selangor dilihat seperti menerima tekanan daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH) susulam Azmin dan Hilman tidak lagi bersama parti itu.

Badrul Hisham Shaharin

“Kamu (Amirudin) bukan tak kenal Azmin dan Hilman, kamu boleh sahaja panggil duduk berbincang dan mencari pendekatan terbaik dan beri masa kepada mereka secukupnya.

“Oleh kerana itu saya melihat Amirudin ini tindakannya bukan tindakan sendiri tetapi menerima tekanan daripada Presiden PKR dan kuncu-kuncunya.

“Saya percaya bahawa Amirudin punya hubungan baik, kawan lama dengan Azmin tetapi oleh kerana jawatan ini (Menteri Besar) dia ditekan hebat oleh Presiden PKR,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Terdahulu, Pejabat Pusat Khidmat Azmin dan Hilman di Taman Berjaya disita oleh MPS semalam.

Difahamkan, notis pengosongan dikeluarkan ke atas bangunan tersebut yang dahulunya merupakan dewan awam sebelum dijadikan Pusat Khidmat oleh ADUN terdahulu, Hasbullah Ridzwan sebelum diambil alih oleh Mohamed Azmin dan Muhammad Hilman.

Dalam pada itu, Badrul Hisham yang merupakan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mempersoalkan tindakan negeri Selangor yang lebih memberi peluang kepada kilang haram berbanding pusat khidmat yang diperlukan oleh rakyat.

Tambahnya, pejabat yang disita tersebut sangat memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat bagi mereka menyampaikan masalah kepada Ahli Parlimen dan ADUN di kawasan mereka.

“Kilang kamu bagi masa sampai hujung tahun tempohnya walaupun jelas kilang haram ini punca kepayahan rakyat Selangor alam sekitar rosak

“Dan hari ini pusat khidmat yang menyampaikan khidmat kepada rakyat kamu halang daripada rakyat mendapat khidmat daripada wakil rakyat mereka. Ini merupakan tindakan politik dan satu benda yang gila,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.