Kenyataan tak perlu BR1M, PRIHATIN keterlaluan

124

19 SEPT: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, membidas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyatakan rakyat Sabah tidak memerlukan bantuan kewangan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Prihatin Nasional (PRIHATIN).

Hajiji yang juga calon Perikatan Nasional (PN) DUN Sulaman menegaskan, masih ramai rakyat Sabah memerlukan bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan kerana mereka hidup di bawah paras kemiskinan dan tiada pendapatan tetap.

“Masih ramai rakyat Sabah yang memerlukan bantuan, sebab itulah apa juga bantuan yang diberikan kerajaan rakyat terima dengan hati yang senang.

“Jadi kalau kita cakap Sabah tidak perlu BR1M tidak perlu bantuan, itu adalah sesuatu yang sangat negatif dan rakyat tidak suka keadaan seumpama itu.

“Rakyat masih banyak memerlukan bantuan jadi kalau kita cakap begitu adalah sesuatu yang agak keterlaluan,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Perjumpaan Bersama Ketua Pimpinan Bersatu di Pusat Daerah Mengundi Kampung Kindu hari ini.

Baru-baru ini Shafie dilaporkan berkata, rakyat Sabah tidak memerlukan BR1M dan PRIHATIN.

Terdahulu, Hajiji yang juga Pengerusi PN Sabah berkata, tindakan Shafie yang menjauhkan rakyat negeri itu dengan kerajaan Pusat hanya merugikan penduduk negeri itu.

“Jangan jauhkan rakyat Sabah dengan kerajaan di Putrajaya. Ini adalah satu trend merugikan rakyat Sabah, kita berada di dunia tanpa sempadanan, kita mesti memikirkan perkara yang lebih besar. Jangan bawa rakyat Sabah terperosok di ceruk negeri,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.