93 ingkar PKPP termasuk berkait kelab malam

49

19 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 93 individu kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam termasuk yang berkait aktiviti di pub dan kelab malam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 85 individu dikompaun manakala lapan individu direman.

Interview Datuk Seri Ismail Sabri. RAJA FAISAL HISHAN/The Star

“Antara kesalahan ingkar arahan termasuk tidak memakai pelitup muka (33), penjarakan fizikal (32), aktiviti dalam pub/kelab malam (14), premis beroperasi tanpa kebenaran (7), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (6), dan gagal kemukakan surat kebenaran keluar/masuk kawasan PKPD (1)

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 56,557 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai tiga tekong dan 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta seorang penyeludup ditahan menerusi Op Benteng yang dilaksanakan semalam.

“Operasi turut merampas 14 kenderaan darat. Selain itu, sebanyak 82 sekatan jalan raya juga dilaksanakan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, 30,717 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 70 hotel dan lapan premis termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,753 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 71 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 20,893 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

“Mereka telah pulang dari 32 negara, iaitu iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” katanya -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.