TNB kuasai majoriti ekuiti syarikat solar terbesar UK

68

18 SEPT: Tenaga Nasional Berhad (TNB), menerusi subsidiari milik penuhnya, TNB International Sdn Bhd (TNBI) meningkatkan pegangan ekuiti dalam Vortex Solar Investments S.a.r.l. (Vortex Solar) daripada Beaufort Investments S.a.r.l, satu subsidiari EFG Hermes Holding SAE pada nilai 11 juta pound sterling.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pembelian itu menjadikan pegangan ekuiti TNB dalam Vortex Solar meningkat kepada 55 peratus sekali gus memberi TNB penguasaan majoriti dalam syarikat tersebut.

“Pemerolehan ini satu pencapaian penting dalam komitmen TNB untuk mengurangkan jejak karbonnya dan mengembangkan portfolio perniagaan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), sejajar dengan aspirasi transisi tenaga untuk menjadi peneraju kepada penyelesaian tenaga mampan di dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Vortex Solar ialah satu daripada platform solar terbesar di United Kingdom dengan skim subsidi ‘Renewables Obligation Certificate’ (ROC).

Portfolio itu merangkumi 24 ladang solar beroperasi dengan kapasiti keseluruhan 365 MW yang konsisten menghasilkan pulangan kukuh sepanjang dua tahun lalu.

“Dengan pemerolehan ini, TNB kini menguasai pegangan majoriti Vortex Solar, sekali gus memperkukuhkan jejak perniagaan Kumpulan dalam bidang RE di Eropah selepas pemilikan penuh Tenaga Wind Ventures UK Ltd (TWV), portfolio ‘Feed-in-Tariff’ (FiT) angin terbesar di UK,” jelasnya.

Beliau menambah, ia juga adalah satu daripada strategi untuk mengembangkan perniagaan RE TNB di UK dan Eropah, malah ia adalah satu langkah terancang untuk menguasai aset-aset RE berprestasi tinggi, bermula dengan penguasaan pegangan 100% TWV pada awal tahun ini.

“Dengan memanfaatkan keupayaan sedia ada TNB dan penguasaannya dalam TWV dan Vortex Solar, Amir, TNB akan mengembangkan perniagaannya di Eropah sejajar dengan strategi pertumbuhan RE di peringkat antarabangsa.

“Menerusi penstrukturan semula Vortex Solar dan TWV untuk menjadi Syarikat Aset Tenaga Boleh Diperbaharui yang bertujuan memiliki, menjalankan operasi dan mengurus portfolio aset-aset RE di UK dan Eropah,” katanya.

Amir Hamzah memberitahu, walaupun berdepan keadaan tidak menentu akibat wabak COVID-19, prestasi kewangan dan operasi Vortex Solar dan TWV adalah di luar jangkaan, justeru penguasaan majoriti dalam Vortex Solar menyumbang secara positif kepada objektif kewangan dan strategik TNB.

Portfolio itu mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak GBP39.1 juta pada 2019 dan berkembang daripada margin EBITDA 80 peratus pada 2018 kepada 84 peratus pada 2019.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.