RMK-12: Industri buluh diberi keutamaan

220

18 SEPT: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program pengubah keadaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan terutamanya dalam industri pembangunan buluh secara komersial.

Menurut beliau, konsep perkongsian bijak akan diberi perhatian dan bersedia untuk memberi khidmat nasihat kepada pihak yang berminat dalam industri.

“Kerajaan menawarkan pinjaman mudah di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) kepada pihak industri berminat yang merangkumi semua spesies buluh yang boleh dibangunkan di samping membangunkan piawaian antarabangsa berkaitan buluh dan produk buluh.

“Kerajaan akan menjalankan kerjasama kajian dan penyelidikan (R&D) dengan institusi penyelidikan serta beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam pembangunan produk berasaskan buluh seperti venir, papan laminasi dan arang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan juga membina lebih banyak infrastruktur dan bangunan ikonik berasaskan buluh dengan kerjasama kerajaan dan swasta.

“Kita juga merancang dan membina Pusat Tapak Semaian Buluh serta makmal tisu kultur buluh di Lahat, Perak di samping dalam perancangan melaksanakan Projek Model Ladang Buluh serta Plot Kajian & Penyelidikan Buluh di Terengganu, bermula pada 2021 – 2025.

“Kita juga akan menjalankan program roadshow di negeri-negeri terpilih untuk mempromosikan perladangan dan industri buluh sebagai salah satu sumber pendapatan baru di samping meneruskan program-program pembangunan industri buluh dalam RMK-12,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, memorandum perjanjian (MoA) di antara MTIB dan Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC), akan dilaksanakan sempena menyambut Hari Buluh Sedunia 2020 (WBD2020) pada 4 Oktober depan.

MoA yang dilaksanakan itu adalah bagi Pembangunan Model Ladang Buluh di Terengganu yang akan dijadikan sebagai pusat rujukan model ladang buluh di Malaysia. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.