PM turun padang, dari Kota Marudu ke Kota Belud

148

18 SEPT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meneruskan program ramah mesra bersama masyarakat Sabah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dimulakan pagi ini di Kota Marudu dan berakhir di Kota Belud.

Berkongsi program turun padang di Sabah hari ini di Facebook beliau, Perdana Menteri berkata, majlis ramah mesranya bersama masyarakat Sabah di beberapa kawasan hari ini bermula seawal jam 8.30 pagi dengan kunjungan pertama di Padang Bandaran, Kota Marudu.

Di situ, kata Muhyiddin, beliau berkongsi pengalaman Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru dibentuk selama tujuh bulan menghadapi cabaran pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi.

Sambil memanjatkan syukur ke hadrat Allah SWT, kata Perdana Menteri, Kerajaan PN terbukti adalah kerajaan yang berfungsi dan prihatin rakyat.

“Mengemudi negara dalam keadaan yang cukup mencabar, saya anggap ini adalah suatu amanah dan menjadi tanggungjawab saya memastikan kerajaan berusaha sehabis baik bagi melindungi nyawa setiap rakyat Malaysia.

“Dalam keadaan luar biasa itu, saya perlu bertindak cepat dengan menguatkuasakan Akta 342 dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Langkah ini tidak lain untuk menghentikan penularan wabak COVID-19.

“Alhamdulillah, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang terbaik dalam pengurusan wabak ini,” katanya.

Tambah Muhyiddin, seperti biasa, beliau tidak lupa mengingatkan masyarakat agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan membiasakan diri dengan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, kata Perdana Menteri, beliau jelaskan betapa perlunya usaha untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara dilakukan bersama-sama oleh Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri.

Menurut beliau, pelaksanaan dasar perlu bergerak seiring, barulah pemulihan ekonomi dapat dilakukan secara menyeluruh dan berkesan.

“Selepas program di Kota Marudu, saya bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) beramah mesra dengan masyarakat di Dewan Tun Mustapha, Kudat. Saya dimaklumkan daripada 63,781 Sahabat AIM di seluruh negara, sebanyak 4,267 merupakan ahli Sahabat AIM dari Parlimen Kudat.

“Syabas saya ucapkan kepada AIM yang bersama-sama kerajaan membantu saat sukar di awal penularan COVID-19 dengan menyalurkan bantuan bagi mengupayakan ekonomi ahlinya, khususnya golongan wanita,” ujarnya.

Tambah Muhyiddin, dalam majlis itu beliau memuji sikap amanah dan komitmen ditunjukkan ahli wanita yang membayar balik pinjaman mengikut jadual, sekaligus memudahkan usaha AIM membantu lebih ramai ahlinya menceburi bidang perniagaan.

“Selesai majlis bersama Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Alhamdulillah saya berpeluang menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Syakirin, Kudat, bersama-sama penduduk tempatan, sebelum ke Kampung Rampayan Laut di Kota Belud untuk sesi turun padang yang terakhir pada hari ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.