Musa Aman turun padang bantu kempen GRS

203

18 SEPT: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman akan membantu kempen calon-calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), merangkumi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Musa berkata beliau akan turun berkempen di seluruh Sabah untuk memastikan kemenangan berpihak kepada semua calon GRS dalam pilihan raya berkenaan.

“Sebenarnya, saya tidak mahu datang berkempen turun ke bawah… Biarlah saya bersara sekejap. Namun, memikirkan ingatkan kawan-kawan, sahabat-sahabat baik sebagai adik-adik saya, maka saya turun ke bawah dan menolong seberapa yang boleh agar mereka ini, insya-Allah akan menang dalam pilihan raya ini.

“Saya akan, kalau boleh menjelajah untuk memberi ingatan dan kesedaran kepada rakyat, jangan sekali-kali terpedaya, jangan sekali-kali terbohong (tertipu),” katanya ketika berucap pada program mesra rakyat bersama calon DUN Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Daerah Mengundi Indai, Kampung Indai hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling.

Musa turut memuji keprihatinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap masalah rakyat dengan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi yang jelas banyak membantu meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi cabaran susulan penularan COVID-19.

“Saya punya peribahasa, ada ubi ada batas, ada budi boleh dibalas. Tan Sri Muhyiddin seorang perdana menteri berbudi. Kita balas budi beliau.. Bukan susah, bukan payah kata orang kampung. Undi saja… Macam di Sulaman ini, undi calon nombor tiga (Hajiji).Selamatlah kita. Begitu juga saya katakan di Kiulu, di Tamparuli,” katanya.

Beliau berkata rakyat Sulaman perlu memberi peluang kepada Hajiji untuk terus menjadi wakil rakyat di kawasan itu kerana sememangnya Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah itu seorang yang bekerja keras, baik hati, ikhlas, dedikasi selain sentiasa prihatin akan keperluan penduduk di situ.

Pada program itu, Musa turut ‘mengubat kerinduan’ para penduduk dengan menyampaikan beberapa rangkap pantun yang sememangnya menjadi ‘trademark’ beliau setiap kali berucap ketika menerajui kerajaan negeri sebelum ini.

Selepas menghadiri program itu, Musa kemudian berkempen untuk calon GRS di DUN Pantai Dalit.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.