Liew Chin Tong, hati-hati bila beri kenyataan

1,856

18 SEPT: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengingatkan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, supaya berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan dalam media sosial berhubung isu tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Beliau memberi peringatan itu selepas merbaca kenyataan ditulis oleh Chin Tong petang semalam bahawa tindakannya menegaskan pendirian kerajaan untuk tidak berunding dengan Filipina menjijikkan.

“Beliau (Chin Tong) juga minta saya letak jawatan kerana jadikan hal ehwal antarabangsa sebagai isu pilihan raya. Biar saya bantu terangkan untuk saudara Chin Tong supaya beliau lebih berhati-hati sebelum tulis sesuatu kenyataan selepas ini,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya malam tadi.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, isu tuntutan Sabah yang terbaru ini timbul apabila Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr memuat naik ciapan Twitter pada 27 Julai berbunyi “Sabah is not in Malaysia if you want to have anything to do with the Philippines”. (Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia jika anda ingin berurusan dengan Filipina).

teodoro locsin
TEODORO LOCSIN JR

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata pada 29 Julai beliau telah membidas Locsin dengan mengatakan dakwaan beliau tidak bertanggungjawab dan menegaskan, “Sabah merupakan dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia”.

Menurut beliau, Duta Besar Filipina ke Malaysia telah diminta hadir ke Wisma Putra bagi menjelaskan perkara sebenar di sebalik dakwaan Locsin, pada 3 Ogos lalu.

Malah, Hishammuddin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan layan apatah lagi penuhi tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah dan Sabah milik Malaysia selamanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, pada 5 Ogos lalu.

Beliau berkata tidak lama selepas itu pada 17 Ogos lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Pada 24 Ogos lalu, saya sekali lagi suarakan ketegasan bahawa tiada sesiapa boleh persoal – Sabah selamanya milik Malaysia. Ini bagi menjawab soalan media berhubung cadangan Jawatankuasa Dewan Luar Negara Filipina Dalam Meluluskan Rang Undang-Undang Dewan 6399 Yang Mencadangkan Kemasukan Wilayah Sabah Dan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) Ke Dalam Peta Pada Muka Hadapan Pasport Filipina.

“Pada 27 Ogos, Timbalan saya, Datuk Kamaruddin Jaafar sekali lagi menegaskan di Kamar Khas Parlimen pendirian Malaysia berhubung isu kedaulatan Sabah yang amat jelas dan konsisten – tidak akan sesekali layan atau iktiraf tuntutan mana-mana pihak asing ke atas Sabah. Cuba tengok semua tarikh ini dan tanya, sepanjang 27 Julai hingga 27 Ogos ada tak pembangkang bidas Locsin?

“Atau ada tak Chin Tong sendiri buat kenyataan yang menyokong tindakan saya dan Timbalan Menteri pertahankan Sabah? Kalau Chin Tong hendak tuduh saya gunakan isu ini sebagai modal pilihan raya, cuba tanya Shafie dahulu, kenapa hanya pada 28 Ogos iaitu selepas tarikh PRN Sabah ditetapkan SPR baru Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba-tiba hendak cadang agar kerajaan runding dengan Filipina? Jadi, sebenarnya siapa cuba jadikan isu ini sebagai modal pilihan raya?”

“Sebagai Menteri Luar, tentunya saya perlu respon terhadap cadangan Mohd Shafie agar tidak timbul kekeliruan. Media juga minta saya respon. Takkan Chin Tong hendak saya berdiam? Ke masa jadi Timbalan Menteri Pertahanan dahulu, Chin Tong memang suka berdiam?

“Lebih saya kecewa, tindakan saya pertahan kedaulatan Sabah dianggap sebagai jijik. Ini saya tak nak komen. Biarlah rakyat sendiri lihat dan nilai tahap pemikiran pemimpin pembangkang,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.