Komitmen pulih ekonomi Sabah perlu luar biasa

138

18 SEPT: Sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini, perkara pertama yang perlu dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah memulihkan semula ekonomi dan mengembalikan kesejahteraan rakyat di Sabah.

Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr Fridausi Suffian berkata, sehubungan itu, diharapkan pemimpin di Sabah dapat melakukan gencatan politik sementara selepas PRN bagi memberi ruang kepada yang diberi mandat menumpukan usaha pemulihan ekonomi.

Dr Firdausi Suffian

Katanya, sebuah kerajaan yang kuat memang perlu dibentuk supaya apa yang dirancang untuk kesejahteraan Sabah mampu direalisasikan selepas ekonomi negeri ini teruk terjejas akibat wabak COVID-19.

“Jadi, yang paling penting selepas ini fokus kepada membentuk kerajaan yang kuat dan yang kedua, fokus mereka hendaklah bukan semata-mata Perjanjian Malaysia 1963 tetapi untuk membangunkan ekonomi Sabah.

“Ini masa yang sesuai sekiranya untuk membuat perubahan kerana kita mengalami krisis ekonomi khususnya di Sabah,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Dalam pada itu, Firdausi menegaskan ini perlu menjadi fokus utama yang harus dilaksanakan setiap parti kerana rakyat Sabah sudah terlalu lama menerima impak negatif di samping kegawatan ekonomi semasa pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Pandemik COVID-19.

“Penggembelengan usaha ke arah membela nasib rakyat yang kian resah harus menjadi keutamaan ketika ini berbanding perkiraan untung rugi politik jangka pendek dan perebutan kuasa berterusan yang hanya akan memudaratkan rakyat dan negara jangka panjang.

“Dalam keadaan sukar COVID-19, kesannya sangat besar dan membawa musibah berat dan Malaysia juga tidak terkecuali, termasuk Sabah.

“Ada rakyat jatuh miskin dan bertambah miskin. Maka sebab itu komitmen hari ini bukan komitmen biasa. Perlu komitmen luar biasa memandangkan situasi agak sukar yang tak pernah dihadapi Sabah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.