Jangan sesekali memandu jika ambil minuman keras

42

18 SEPT: Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Ogos lepas bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk adalah bertujuan memberi mesej jelas supaya jangan memandu jika minum minuman keras.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sekiranya RUU itu diluluskan di peringkat Dewan Negara minggu depan, ia boleh diwartakan selepas tempoh yang ditetapkan.

Katanya, dengan hukuman yang lebih berat menerusi pindaan itu, ia akan mencegah orang ramai daripada melakukan kesalahan itu.

“Kita tidak menyekat hak sesiapa untuk minum minuman keras tetapi yang penting ialah kalau hendak minum jangan memandu, itu mesej yang jelas.

“Melihatkan kepada statistik kemalangan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, semakin banyak kes yang melibatkan pemandu mabuk, berdasarkan soal selidik daripada 345,000 orang, sebanyak 94 peratus mahu pemandu mabuk dikenakan hukuman yang berat,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Ka Siong dalam hantaran itu berkongsi mengenai Kempen #Celebrate Responsibly dan Sesi Dialog ‘Memandu Dalam Keadaan Mabuk: Dari Agenda Bersama ke Penyelesaian Bersama’ di Ibu Pejabat Sin Chew Daily, Petaling Jaya hari ini yang dirasmikan beliau.

Akta sedia ada memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000 jika disabitkan kesalahan.

Melalui pindaan, kadar denda yang dikenakan lebih tinggi sehingga RM150,000 dan tempoh penjara hingga 20 tahun serta penggantungan lesen memandu.

Ka Siong berkata, sudah masanya kerajaan memberi peringatan dan mendidik masyarakat tentang akibat bahayanya memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Pindaan itu juga bukan kami (kementerian) ambil dari mana-mana, kami mengikut standard ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Kempen #Celebrate Responsibly anjuran Sin Chew Daily dengan kerjasama sebuah syarikat bir antarabangsa itu bertujuan memupuk kesedaran akan kepentingan bagi individu mengubah sikap agar tidak memandu dalam keadaan mabuk.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.