Gagal gantung keputusan lucut hak wang BN JB, Shahrir

285

18 SEPT: Pihak pendakwaan hari ini gagal menggantung pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi melucut hak wang berjumlah RM957,395.65 daripada Barisan Nasional (BN) Johor Bahru dan dua lagi.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan untuk menggantung pelaksanaan keputusan itu ke atas BN Johor Bahru, Pengerusinya iaitu Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Bendaharinya, Raihan Baba.

Memetik laporan Bernama, wang itu, yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB, telah disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dalam prosiding hari ini.

“Setelah meneliti permohonan pemohon (pendakwaan) dan mempertimbang hujah-hujah, saya mendapati bahawa permohonan ini tidak menepati maksud Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah. Saya dengan ini menolak permohonan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaidi berkata pihaknya memohon mahkamah membenarkan penggantungan itu sementara menunggu rayuan selesai.

Peguam Syahrul Syazwan Salehin berkata jika mahkamah membenarkan penangguhan itu, ini bermakna mahkamah berpaling daripada dapatannya sendiri semasa menolak permohonan lucut hak.

“Kedua, mahkamah akan membiarkan satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang apabila membiarkan harta responden terus ditahan secara tidak sah,” katanya.

Pada 9 Jun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang daripada ketiga-tiga responden.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.